
SEREMBAN | 14 Mei 26 — Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin mendakwa situasi politik di Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan tidak stabil sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) berisiko terbubar secara automatik jika gagal bersidang dalam tempoh ditetapkan.
Beliau berkata ramai pihak terlepas pandang mengenai satu aspek penting dalam Undang-Undang Tubuh Negeri yang mewajibkan sidang DUN diadakan setiap 60 hari.
Menurutnya, sidang DUN sebelum ini telah ditangguhkan dan tempoh 60 hari itu dijangka berakhir sekitar 5 hingga 15 Jun depan.
“Kalau dalam tempoh itu DUN tidak bersidang, maka DUN boleh terbubar secara automatik,” katanya kepada politiko.
Chegubard turut mendakwa Menteri Besar Aminuddin Harun kini berada dalam kedudukan tidak begitu selesa kerana berdepan ketidaktentuan sokongan politik dalam kerajaan negeri.
Beliau mendakwa wujud gerakan dalaman termasuk cadangan daripada parti Parti Amanah Negara supaya ADUN Kuala Kelawang diketengahkan sebagai Menteri Besar.
“Di situ sahaja sudah nampak berlaku perebutan dan kemungkinan perubahan sokongan,” katanya.
Menurut beliau lagi, hubungan antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan negeri juga didakwa tidak lagi kukuh apabila terdapat rasa tidak percaya antara komponen tertentu.
“Kalau lima kerusi mula swing, kalau Amanah swing, majoriti yang nampak selesa sekarang boleh jadi goyah,” katanya.
Chegubard turut membayangkan kemungkinan pilihan raya negeri secara serentak melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya krisis politik terus memuncak dalam tempoh terdekat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.