
KUALA LUMPUR, 14 NOV 25 – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria tampil memohon maaf atas kenyataannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam yang dianggap menghina rakyat Sabah ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berjalan.
Dalam video tular, Mansor yang juga Adun Kuala Ketil secara berseloroh berkata: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.”
Kenyataan itu dipercayai merujuk kebiasaan rakyat Sabah dan Sarawak membeli roti Gardenia setiap kali berada di Semenanjung.
Ucapan itu bagaimanapun mengundang kecaman pelbagai pihak.
Ekoran kritikan tersebut, Mansor hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Bila saya fikir balik, sebenarnya saya tidak berniat menghina rakyat Sabah. Kita berbahas tentang apa yang diceramahkan di Sabah berkaitan Kedah.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dan dengan jujur serta ikhlas memohon maaf atas ucapan saya semalam, serta menarik balik jika ia menyinggung perasaan rakyat Sabah,” katanya seperti dalam rakaman video dikongsi Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan turut memuji tindakan Mansor yang disifatkan sebagai berjiwa besar kerana berani memohon maaf.
“Jauh beza dengan mereka yang buat silap tetapi tak pernah meminta maaf. Tabik kepada YB,” katanya di Facebook.
PRN Sabah ditetapkan berlangsung pada 29 Nov ini. PAS meletakkan lima calon mewakili Perikatan Nasional (PN) termasuk Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan di kerusi Karambunai. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.