
KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Fadhli Shaari, menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026 sebagai satu tindakan bijak dan tepat, khususnya ketika gabungan itu memerlukan momentum baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam satu kenyataan di facebook, Fadhli berkata keputusan tersebut membuka ruang kepada penyusunan semula kepimpinan PN, termasuk rombakan organisasi bagi memperkukuh gerak kerja dan kesiapsiagaan gabungan itu menghadapi cabaran politik akan datang.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PAS akan menampilkan calon daripada parti itu untuk menerajui PN sebagai pengerusi baharu. Menurutnya, individu berkenaan tidak semestinya Presiden parti, sebaliknya seorang tokoh yang diyakini mampu menggembleng kekuatan semua parti komponen di bawah PN.
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi Perikatan Nasional bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini,” katanya.
Fadhli turut merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas sikap terbuka dalam membuat keputusan tersebut, sambil mengucapkan tahniah kepada beliau dan selamat bekerja kepada bakal Pengerusi PN yang baharu.
Perkembangan ini dijangka mencetuskan perbincangan lanjut dalam kalangan kepimpinan PN berhubung hala tuju gabungan dan struktur kepimpinan menjelang PRU16.
Tekanan berterusan ke atas Muhyiddin memuncak apabila krisis politik Perlis yang menyaksikan Adun Bersatu, dilantik menjadi Menteri Besar manakala tiga Adun PAS dipecat PAS. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.