
KUALA LUMPUR | 12 Sep 26 – Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO semalam disifatkan sebagai satu “pengisytiharan perang politik” yang berani, menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari.
Fadhli yang hadir mewakili PAS buat kali pertama pada Perhimpunan Agung UMNO berkata, beliau melihat beberapa mesej politik penting yang dibawa Zahid, termasuk gagasan ‘Tafahum Siyasi’ atau persefahaman politik sebagai pendekatan dalam menentukan hala tuju UMNO.
Menurutnya, Zahid turut menegaskan penyatuan perlu berlaku antara UMNO dan PAS tanpa melibatkan pihak ketiga, selain mengangkat UMNO dan Barisan Nasional sebagai induk kepada penyatuan bangsa.
“Ini satu mesej politik yang sangat jelas tentang bentuk penyatuan yang sedang dibayangkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhli turut melihat sindiran Zahid terhadap Kerajaan PH apabila Presiden UMNO itu menyebut bahawa kerajaan tidak seharusnya berjanji seolah-olah semua masalah akan selesai sebaik sahaja memenangi pilihan raya.
Beliau turut menyorot gagasan ‘Kolaborasi Agung’ yang mengajak mereka yang pernah meninggalkan UMNO untuk kembali bersama membina kekuatan parti.
Dalam pada itu, Fadhli berkata Zahid turut menyentuh isu perjanjian politik apabila mendakwa apa yang dijanjikan sebelum ini ialah pembentukan ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’, namun akhirnya yang diwujudkan ialah ‘Kerajaan MADANI’.
Menurut Fadhli, satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah pengenalan ‘Agenda Malaysia BIRU’ menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada 2057.
BIRU, katanya, membawa maksud Berdaulat, Inovatif, Rakyat Makmur dan Unggul, yang dilihat sebagai kerangka pembangunan negara jangka panjang merangkumi beberapa siri Rancangan Malaysia sehingga 2057.
Fadhli turut memberi perhatian kepada ungkapan Zahid, “Cukuplah guru, berhentilah…”, yang disifatkannya sebagai sindiran yang tidak sukar untuk ditafsirkan.
“ Saya mendengar ucapan ini seperti ucapan pengisytiharan perang politik yang cukup berani oleh Presiden UMNO,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengemukakan persoalan mengenai sasaran sebenar mesej tersebut, dengan menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini.
“Kepada siapa perang itu diisytiharkan? Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya,” katanya.
Fadhli turut menyifatkan tarikh 11 September sebagai simbolik apabila membandingkan ucapan tersebut dengan peristiwa serangan terhadap World Trade Center di New York pada 2001.
Beliau berkata, jika 25 tahun lalu WTC di New York menjadi medan serangan fizikal, “hari ini WTC Kuala Lumpur menjadi pentas kepada satu serangan politik”.
Hantaran itu turut diakhiri dengan ucapan terima kasih kepada UMNO atas jemputan dan sambutan terhadap delegasi PAS yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.