
KUALA LUMPUR, 10 Okt 25 — Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekadar menjadi ‘budak yang disuruh’ dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan baru-baru ini.
Zaid berkata dia percaya pihak yang memiliki kuasa lebih tinggi daripada FAM seperti individu berpengaruh terlibat dalam isu berkenaan.
“Apa yang berlaku dalam bola sepak kita bukan silap FAM. FAM tu hanya budak yang disuruh.
“Siapa yang salah bagi saya orang yang tinggi daripada FAM. Macam-macamlah, boleh jadi menteri, boleh jadi istana, boleh jadi semualah,” katanya, dalam episod terbaru The Zaid Ibrahim Podcast bersama moderator Shahbudin Husin,
Zaid yang merupakan bekas penasihat undang-undang FAM berkata tindakan menuding jari kepada badan induk bola sepak itu adalah cara mudah untuk menutup isu berkenaan, lebih-lebih lagi apabila kuasa tidak sepenuhnya dimiliki badan induk bola sepak itu.
“Idea untuk menipu FIFA bukan datang daripada FAM. Orang yang nak menipu FIFA adalah orang yang merasakan dirinya lebih kuat dari FIFA.
“Malaysia ni tidak ada benda yang telus, semua benda palsu,” katanya, kecewa.
Perbincangan mengenai bola sepak Malaysia kembali hangat apabila Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.