“FIFA Guna Peluru Hidup, Bukan Peluru Kapur” — Rafique Tembak Soalan Panas

KUALA LUMPUR, 10 Okt 25 — Peguam dan aktivis politik, Rafique Rashid, hari ini menembak soalan bertubi-tubi terhadap kerajaan dan agensi berkaitan berhubung isu pemain naturalisasi Malaysia yang kini menjadi bahan siasatan FIFA — menyifatkan siasatan itu sebagai “peluru hidup”, bukan lagi sekadar amaran kosong.

Dalam kenyataannya bertajuk “Peluru Hidup”, Rafique menyindir penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang sebelum ini mempertahankan proses naturalisasi tujuh pemain bola sepak warisan Malaysia sebagai sah di sisi undang-undang berdasarkan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Rafique, rakyat tidak mempertikai kuasa menteri atau Pendaftar Besar, sebaliknya mempersoalkan apa yang terlalu “istimewa” sehingga proses bagi tujuh pemain itu diluluskan dengan begitu mudah sehingga mengundang aib di peringkat dunia.

“Kalau FIFA boleh cari dan jumpa sijil lahir asal datuk dan nenek pemain-pemain ini, apa yang JPN buat sehingga sahkan mereka sendiri luluskan dokumen tanpa rekod asal?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keberanian luar biasa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi lain yang meluluskan dokumen tanpa semakan dokumen asal.

“Bagaimana pegawai-pegawai di JPN begitu berani hingga sahkan dokumen tanpa lihat yang asal? Bagaimana FAM pula boleh teruskan proses tanpa semakan?” soalnya.

Rafique turut menempelak alasan kerajaan bahawa menteri mempunyai kuasa budi bicara dalam menentukan kelayakan naturalisasi.

“Kalau itu lojiknya, maka mudah sahaja nampaknya kalau warga asing hendak jadi warganegara,” sindir beliau.

“Setiap budibicara itu mesti berpaksi pada undang-undang, tidak kira siapa — sama ada rakyat biasa atau ‘cara kayangan’, sama ada kaki bangku atau kaki bola.”

Beliau turut mempersoalkan siapa sebenarnya mengarahkan pemalsuan dokumen, dan menegaskan bahawa persoalan utama belum dijawab oleh pihak berkuasa.

“Cepumas yang masih belum terjawab: siapa arahkan pemalsuan? FIFA guna peluru hidup, bukan peluru kapur,” katanya menutup kenyataan.

Kenyataan itu mencerminkan tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan dan FAM selepas siasatan FIFA dikatakan menemukan bukti dokumen asal yang bercanggah dengan maklumat pemain naturalisasi Malaysia.

Dengan kenyataan ini, Rafique secara sinis menghantar mesej bahawa isu ini bukan sekadar kecuaian pentadbiran — tetapi mungkin ada tangan yang mengatur dari atas. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share