
KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menyindir cadangan supaya sejarah Democratic Action Party (DAP) dimasukkan dalam silibus sekolah dengan berkata ia mungkin akhirnya “menjadikan subjek sejarah lebih menarik”.
Namun katanya, jika sejarah DAP mahu diajar kepada generasi muda, maka keseluruhan rekod perjuangan parti itu juga wajib didedahkan tanpa tapisan — termasuk asal-usulnya daripada People’s Action Party (PAP), konflik politik yang membawa kepada pemisahan Singapura serta agenda “Malaysian Malaysia” yang didakwa masih menjadi teras perjuangan parti tersebut.
“Kalau mahu masuk dalam buku sejarah, masukkan sekali bagaimana DAP lahir daripada PAP.
Masukkan juga bagaimana ideologi mereka menentang asas negara yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia,” katanya.
Chegubard mendakwa DAP bukan sekadar mahu menjadi parti pemerintah, tetapi sedang berusaha membentuk semula naratif sejarah dan identiti negara mengikut acuan politik mereka sendiri.
Menurut beliau, Deklarasi Setapak 1967 perlu dijadikan bahan rujukan utama sekiranya sejarah DAP mahu diperkenalkan di sekolah kerana dokumen itu, dakwanya, secara terbuka menolak konsep keistimewaan bumiputera dan mengangkat gagasan negara sekular atas nama “Malaysian Malaysia”.
“Biar generasi muda tahu apa sebenarnya maksud Malaysian Malaysia yang selama ini dijual dengan slogan manis,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sambutan ulang tahun ke-60 DAP baru-baru ini sebagai bukti parti itu tidak lagi berselindung mengenai perjuangan ideologi mereka.
“Dulu cuba lembutkan imej. Sekarang mereka sendiri angkat semula slogan Malaysian Malaysia secara terbuka,” katanya lagi.
Chegubard turut memetik kenyataan seorang pemimpin kanan UMNO yang mendakwa DAP kini tidak lagi “bermuka-muka” dalam membawa agenda politik mereka.
Kenyataan itu hadir ketika polemik mengenai identiti nasional, kedudukan Melayu-Bumiputera dan peranan Islam dalam negara kembali menjadi perdebatan hangat dalam landskap politik semasa.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan tindakan pemimpin Anthony Loke yang didakwa mahu memasukkan sumbangan dan jasa DAP dalam naratif sejarah negara.
Menurut beliau, perkara itu seolah-olah cubaan untuk mengangkat DAP sebagai “pejuang negara”, walaupun parti tersebut tidak terlibat dalam perjuangan kemerdekaan ataupun pembinaan asas negara selepas merdeka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.