
KUALA LUMPUR | 17 Jan 26 — Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menegaskan bahawa penggantian pemimpin dalam parti bukan sekadar menolak jasa silam, tetapi langkah penting mengikut tuntutan masa kini dan akan datang. Beliau memberi amaran bahawa kelewatan membuat keputusan sedemikian berpotensi menjejaskan peluang parti dalam pilihan raya akan datang.
Saifuddin menekankan bahawa legasi pemimpin lama tetap dihargai walaupun diganti. Menurut beliau, penggantian tidak bermakna menolak sumbangan terdahulu. Sejarah turut menunjukkan kepentingan menyesuaikan kepimpinan: semasa Pembukaan Mekah, Rasulullah SAW menggantikan Saad bin Ubadah dengan tokoh lain, manakala Khalifah Umar al-Khattab menggantikan Khalid al-Walid dengan Ubaidah al-Jarrah.
“Pemimpin besar juga boleh diganti apabila tuntutan masa memerlukannya. Ini bukan soal ‘kacang lupakan kulit’, tetapi memilih pemimpin sesuai untuk masa kini dan masa depan,” kata beliau.
Saifuddin menegaskan bahawa penggantian kepimpinan perlu berlaku segera, terutama menjelang pilihan raya. Beliau memberi contoh pilihan raya Presiden AS: Demokrat lambat menamakan Kamala Harris sebagai calon untuk menggantikan Joe Biden, memberi peluang kepada Donald Trump mendahului.
“PRU16 adalah peluang yang boleh dimenangi PN. Tetapi jika parti terlalu lambat membuat keputusan penting seperti penggantian kepimpinan, ia boleh berubah menjadi PRU yang parti sendiri pilih untuk kalah,” katanya.
Beliau turut memetik contoh pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar, yang meninggalkan parti kerana tidak lagi sesuai memimpin, berbeza dengan Robert Mugabe yang terlalu lama berkuasa sehingga digulingkan.
“Penggantian pemimpin adalah lumrah apabila hadir keperluan munasabah,” tambah Saifuddin.
Beliau menegaskan bahawa penggantian kepimpinan adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan parti, bukan mencemarkan nama baiknya. Kepimpinan perlu disesuaikan dengan tuntutan masa dan strategi pilihan raya, sementara jasa dan legasi pemimpin lama tetap dihormati.
Saifuddin, mantan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU sebelum ini dipecat, dipercayai berkaitan dengan desakan beliau yang menasihatkan agar Muhyiddin Yassin berundur dan memberi laluan kepada Timbalannya, Hamzah Zainuddin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.