
KUALA LUMPUR | 29 Ogos 26 – Presiden Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin, menzahirkan rasa kehilangan yang besar susulan pemergian ibunya, Allahyarhamah Hajah Mariam Kassim.
Menerusi hantaran di media sosial, Hamzah memaklumkan urusan pengebumian Allahyarhamah telah disempurnakan.
Beliau berkata, kehilangan insan yang melahirkan, membesarkan dan mendidiknya bersama enam adik-beradik lain bukan sesuatu yang mudah untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diungkapkan dengan kata-kata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir, membantu serta memudahkan segala urusan keluarga sepanjang proses pengkebumian.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengirimkan doa dan ucapan takziah dari dekat mahupun jauh.
“Saya dan keluarga amat menghargainya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Hamzah memohon agar segala kebaikan, doa dan bantuan yang diberikan kepada keluarganya dibalas Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.
Beliau turut menitipkan doa agar Allah SWT mengampuni dosa arwah ibunya, merahmati Allahyarhamah, melapangkan kuburnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan memperoleh syurga.
“Ya Allah, ampunilah dosa bondaku, rahmatilah beliau, lapangkanlah kuburnya dan tempatkanlah beliau dalam kalangan hamba-Mu yang beriman dan beroleh syurga-Mu,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.