
KUALA LUMPUR, 3 Jul 25 – Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim untuk memangku dua jawatan tertinggi serentak Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, adalah janggal dan luar biasa serta belum pernah berlaku dalam sejarah negara, kata Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, perkembangan ini mencetuskan persoalan besar dalam sistem kehakiman tanah air.
“Ini adalah satu perkembangan yang amat janggal dan luar biasa dalam sejarah perundangan negara. Ia mencetuskan persoalan besar tentang prinsip rule of law dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, perkara itu juga adalah “pelik, belum pernah berlaku dan mengundang kecurigaan besar terhadap keutuhan sistem pemisahan kuasa serta kebebasan badan kehakiman negara”.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga katanya perlu memberikan penjelasan dan menyegerakan pelantikan tetap bagi dua jawatan penting tersebut selepas penyandangnya bersara.
“Perdana menteri hari ini sudah mengetuai cabang eksekutif dan legislatif negara secara mutlak.
“Kini dengan kekosongan ketua cabang kehakiman yang dibiarkan berlarutan, apakah ini satu langkah untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa kerajaan?” soal Takiyuddin.
PN turut menggesa perdana menteri menafikan secara terbuka sebarang niat campur tangan dalam kebebasan kehakiman serta mempercepatkan pelantikan tetap mengikut lunas Perlembagaan.
“Institusi kehakiman adalah benteng terakhir mempertahankan hak rakyat. Jangan sesekali mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa,” tegas beliau.
Terdahulu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan tugas Ketua Hakim Negara bermula semalam selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib, kelmarin.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan berkata, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91]. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.