
KUALA LUMPUR | 21 Jun 26 — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan kembalinya Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang sebagai satu kebangkitan politik yang wajar dihargai.
Dalam kenyataan yang dikongsikan, Zaid menyifatkan Hamzah sebagai “watak yang kembali bangkit” selepas melalui tempoh sukar dalam perjalanan politiknya.
Menurut beliau, Hamzah berjaya kembali ke kedudukan yang dianggap sesuai untuknya walaupun pernah berdepan kemelut termasuk pemecatan daripada Bersatu dan tekanan politik selama beberapa bulan.
“Saya gembira untuk beliau,” kata Zaid sambil menyifatkan Hamzah sebagai seorang ahli strategi dan pemain politik yang berpengalaman.
Beliau berkata Hamzah mungkin tidak mempunyai gaya popular seperti tokoh lain, namun kekuatan Hamzah terletak pada kebolehannya membaca politik, membina persetujuan dan duduk berbincang dengan pihak yang mempunyai pandangan berbeza.
Zaid turut menyifatkan Hamzah sebagai seorang pemimpin Melayu yang dilihat mampu membawa suara golongan masyarakat berpendapatan rendah.
Namun, menurut Zaid, pujian terbesar terhadap kebangkitan Hamzah perlu diberikan kepada PAS dan barisan kepimpinannya.
Beliau menyebut nama seperti Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Idris Ahmad, Datuk Seri Mohamad Amar Nik Abdullah serta Datuk Seri Annuar Musa sebagai antara tokoh yang wajar dihargai.
Zaid berkata, walaupun PAS sering dikritik dan dilabel sebagai terlalu mengejar kuasa atau tidak demokratik, parti itu memilih untuk mengekalkan hubungan politik bersama Hamzah ketika mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju kepimpinan negara.
Menurut beliau, sokongan PAS kepada Hamzah bukan bersifat peribadi atau sementara, sebaliknya kerana mereka melihat Hamzah sebagai sebahagian daripada perjuangan politik yang lebih besar.
Zaid berharap perkembangan itu dapat membuka ruang kepada masyarakat melihat PAS dari sudut yang berbeza serta bersama membina sebuah kerajaan yang lebih stabil pada masa depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.