Kes Zara : Tuduhan Hanya Perbuatan Buli, Bukan Sebab Kematian, Kata AGC

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 25 – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa pertuduhan ke di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat dengan merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.

Kenyataan itu sebagai respon kepada kenyataan peguam keluarga Zara Qairina sebelum ini yang disifatkan spekulatif tanpa fakta yang tepat.

“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.

“Kenyataan peguam di perenggan empat pada kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.

Sehubungan itu, AGC menegaskan inkues berhubung kematian pelajar tingkatan satu itu akan diteruskan pada 3 September bagi mengetahui punca kematiannya.

“Dalam hal tersebut, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.” kata AGC dalam satu kenyataan hari ini. Katanya.

Kenyataan AGC ini dibuat selepas peguam yang mewakili keluarga Zara menggesa peguam negara menimbang semula keputusannya dan mendakwa remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang meliputi kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan pada dirinya sendiri atau orang lain.

Untuk rekod, Seksyen 507C(1) meliputi kesalahan menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengugut, menghina, atau bersifat kasar yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman di bawah Seksyen 507D(2) pula memperuntukkan hukuman serupa bagi kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan, tetapi tempoh penjara boleh meningkat sehingga 10 tahun jika mangsa cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat dorongan tersebut. 

Terdahulu, pasukan peguam yang mewakili keluarga Zara menggesa AGC mendakwa lima remaja tersebut dengan pertuduhan yang lebih serius.

Kenyataan tersebut ditandatangani enam peguam – iaitu Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.

Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.

Dia dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai “mati mengejut” dan tidak menjalankan bedah siasat selepas ibunya menandatangani surat kebenaran menolaknya, sesuatu yang kini dipersoalkan kerana didakwa melanggar prosedur polis. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share