
KUALA LUMPUR, 10 Okt 25 — Peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen, mendakwa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah mengelirukan Parlimen apabila menafsir Perkara 20(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan tujuh pemain warisan memperoleh kewarganegaraan tanpa memenuhi syarat tempoh pemastautin.
Paulsen menegaskan bahawa peruntukan tersebut tidak memberi kuasa pengecualian mutlak, sebaliknya hanya membenarkan pengiraan semula tempoh pemastautin bagi individu yang telah lama menetap di Malaysia.
Tafsiran Saifuddin, katanya, berisiko mencabuli semangat undang-undang yang menuntut kesetiaan, kelakuan baik dan hubungan sebenar dengan negara sebagai asas kewarganegaraan.
“Jika tafsiran Saifuddin diterima, dia boleh bawa masuk sejuta warga asing esok dan kecualikan mereka daripada semua syarat,” tegas Paulsen seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.
Menurut laporan sama, kontroversi ini timbul selepas FIFA menggantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kerana didapati menghantar dokumen kelahiran yang disyaki palsu dalam pendaftaran pemain untuk kelayakan Piala Asia 2027.
FAM dikenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap pemain didenda RM10,500 dan digantung 12 bulan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.