Nak Kahwin Pun Kena SST, Kata Hamzah

KUALA LUMPUR, 25 Jun 25 – Perikatan Nasional (PN) akan tetap mempertahankan pendirian mereka menyebelahi rakyat yang terbeban dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan walaupun dilabel bebal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini berikutan kerajaan seolah-olah tidak peduli langsung kesukaran dihadapi rakyat disebabkan dasar tersebut.

“Ahli-ahli Parlimen PN bangkit menyuarakan kebimbangan tentang kesan dan beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung rakyat tetapi PMX nampaknya cepat nipis telinga. Dia menganggap semua kritikan disuarakan pembangkang sebagai bebal.

“Bila ahli-ahli Parlimen PN menegur kerajaan bahawa rasionalisasi RON95 yang akan dilaksanakan selepas ini bakal memburukkan lagi keadaan, ketika kehidupan rakyat sudah pun lemas, PMX kata itu hanyalah gimik pembangkang,” katanya, merujuk kepada perdana menteri ke-10 itu.

Ahli parlimen Larut itu berkata, bermula Julai, beban rakyat akan bertambah berikutan peluasan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang mengakibatkan lebih 4,000 kategori barangan dan perkhidmatan mengalami kenaikan harga.

“Mereka terkejut dan kecewa kerana urusan kahwin misalnya bermula 1 Julai kena SST 8%. Sewa dewan kena cukai, sewa baju pengantin kena cukai, sewa katering pun kena cukai.

“Hari ini pun dah banyak suara kemarahan dan kekecewaan orang muda, ada yang zahirkan secara terbuka di khalayak dan juga di media sosial,” kata Hamzah lagi.

Namun kerajaan jelasnya seperti hidup dalam sindrom penafian disebalik rungutan rakyat.

“Banyak barangan keperluan harian rakyat yang selama ini tidak dicukai, mulai 1 Julai, SST 5% dikenakan. Ikan selar, ikan tongkol, ikan cencaru, ikan bilis, oren dan epal juga dicukai. Semua ini makanan rakyat biasa.

“Semua dasar-dasar ini menekan rakyat tapi kerajaan seperti tidak peduli dan hidup dalam sindrom penafian. Keliru kami dengan PMX ini. Lebih-lebih lagi apabila beliau suruh pembangkang belajar GST, – yang ditakrifkan oleh PMX sebagai General Services Tax,” kata Hamzah.

Beliau juga pelik, dalam situasi itu rating Anwar berada diparas 55%.

“Dalam keadaan rakyat terbeban dengan semua ini pun ada yang kata PMX dapat sokongan 55%.

“Fikir-fikirkanlah,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share