Peguam Gesak Dedahkan Laporan JKK Kompetensi DUN Gubal Undang-Undang Islam

KUALA LUMPUR | 2 Sep 26 – Sekumpulan peguam menggesa Kerajaan Malaysia segera mendedahkan kepada umum Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Penggubalan Undang-Undang Islam (JKK) yang didakwa telah disiapkan sejak tahun lalu.

Dalam petisyen yang dikeluarkan hari ini, mereka berkata laporan berkenaan penting untuk diketahui masyarakat kerana menyentuh persoalan perlembagaan, bidang kuasa legislatif negeri, pentadbiran undang-undang Islam serta kepastian undang-undang bagi umat Islam dan institusi berkaitan.

JKK ditubuhkan pada 5 Disember 2023 susulan perkembangan undang-undang berkaitan keputusan kes Nik Elin, termasuk persoalan mengenai kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang berkaitan kesalahan Syariah.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan diberikan tempoh setahun untuk menyelesaikan kajiannya.

Menurut petisyen itu, pada Mac 2025, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama ketika itu turut mengumumkan bahawa laporan JKK telah siap dan sedia untuk dibentangkan.

Bagaimanapun, hampir setahun setengah selepas pengumuman tersebut, laporan berkenaan masih belum didedahkan kepada masyarakat umum.

Para peguam terbabit berkata pendedahan laporan itu akan membolehkan masyarakat memahami isu perlembagaan dan perundangan yang dikenal pasti JKK, kesan keputusan mahkamah terhadap kompetensi DUN serta cadangan penyelesaian yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan.

Mereka turut menggesa kerajaan mengumumkan pendirian dan tindakan susulan terhadap syor JKK, selain memastikan sebarang pembaharuan atau penggubalan undang-undang susulan laporan itu dilakukan secara telus dan melalui libat urus dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, badan kehakiman dan perundangan, ahli akademik, NGO serta masyarakat awam.

“Kami menghormati tanggungjawab kerajaan untuk meneliti sesuatu laporan sebelum mengambil tindakan tetapi ini tidak sepatutnya menahan Laporan JKK daripada didedahkan,” menurut petisyen itu.

Mereka berpandangan bahawa selepas tempoh yang panjang berlalu, tiada alasan munasabah untuk terus menangguhkan pendedahan laporan tersebut, khususnya demi kepentingan awam, kepastian undang-undang dan keyakinan masyarakat.

Petisyen itu dimulakan oleh Datuk Lukman Sheriff Alias, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Fakhrul Azman Abu Hasan, Datuk Megat Abdul Munir, Dato’ Mohamad Ezri Abdul Wahab, Datuk Adnan Seman @ Abdullah, Yusfarizal Yusoff, Muhamad Hisham Marzuki, Ahmad Edham Abdulwani dan Aidil Khalid. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Hassan Karim Desak SOSMA Dimansuhkan

“Kita berjanji dalam manifesto… apa juga undang-undang drakonian kita akan mansuhkan. Inilah masa. Ada dua tahun lagi kita di dalam Parlimen, kalau kita tidak mansuhkan ini, bermakna kita sama-sama, termasuk saya, gagal melaksanakan reformasi yang sebenarnya.”
Read More
Total
0
Share