Peguam Kanan Dakwa ART Satu Bentuk “Pengakuan Pencabulan Kedaulatan Negara”

KUALA LUMPUR, 3 Nov 25 — Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla, mendakwa kerajaan secara tidak langsung mengakui telah mencabuli kedaulatan negara melalui Perjanjian Timbal Balik Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang baru dimeterai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini.

Menurut Haniff, kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Malaysia boleh berdepan tarif eksport sehingga 100 peratus sekiranya menolak perjanjian itu, membayangkan kerajaan berada dalam keadaan terpaksa tunduk kepada tekanan ekonomi Washington.

“Pada asasnya, kenyataan Zafrul dan Anwar adalah satu pengakuan bahawa Malaysia ‘terpaksa’ menandatangani perjanjian tersebut kerana kebimbangan terhadap kesan ekonomi — bukan atas dasar menjaga kedaulatan negara,” tegas Haniff dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut menegaskan beberapa klausa dalam perjanjian itu berpotensi mencabul hak dan kuasa negara dalam mentadbir urus sendiri, bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Kenyataan Haniff itu merujuk laporan Malaysiakini bertarikh 1 November 2025 yang memetik Tengku Zafrul berkata penolakan perjanjian berkenaan boleh menyebabkan tarif eksport Malaysia ke AS dinaikkan semula kepada kadar asal atau lebih tinggi, sekali gus menjejaskan sektor utama seperti elektronik, aeroangkasa, getah dan farmaseutikal.

Haniff berkata, hujah kerajaan yang menekankan aspek kelangsungan ekonomi rakyat menunjukkan bahawa pertimbangan kedaulatan telah diketepikan demi mengelak risiko ekonomi jangka pendek.

“Ini satu bentuk pengakuan bahawa Malaysia telah terikat di bawah syarat yang meletakkan kepentingan negara di bawah tekanan kuasa asing,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat meneliti penjelasan lanjut berhubung isu tersebut melalui video yang dimuat naiknya, bagi memahami implikasi sebenar perjanjian terhadap kedaulatan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share