
KUALA LUMPUR | 8 Jan 26 – Pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai langkah luar biasa yang berisiko mencetuskan perpecahan serius dalam parti, kata Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali.
Menurut beliau, tindakan pemecatan itu bukan keputusan kecil memandangkan Saifuddin merupakan pemimpin kanan dan bekas menteri, selain diketahui sebelum ini mengemukakan pandangan yang mungkin tidak selari dengan pucuk pimpinan parti.
“Kita lihat kebelakangan ini ada perkembangan yang agak luar biasa dalam Bersatu, termasuk pemecatan Datuk Saifuddin Abdullah. Ini bukan kepimpinan calang-calang. Sepatutnya pada waktu sekarang, usaha perbincangan dan perdamaian perlu diutamakan, bukan tindakan memecat,” katanya kepada politiko.
Mazlan berkata, punca sebenar pemecatan Saifuddin masih tidak jelas, sama ada berkait dengan kritikan beliau sebelum ini atau faktor lain yang tidak diumumkan secara terbuka. Ketiadaan alasan yang kukuh, katanya, hanya akan menambah kekeliruan dan ketegangan dalam parti.
“Jika tidak ada alasan yang jelas dan kuat, pemecatan ini boleh membawa risiko Bersatu berpecah kepada dua kumpulan,” jelasnya.
Risko Perpecahan
Beliau berpandangan, perpecahan itu berpotensi mewujudkan satu kumpulan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan satu lagi kumpulan yang terdiri daripada pimpinan yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin, termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung, serta Saifuddin Abdullah sendiri.
Dalam konteks itu, Mazlan turut membangkitkan persoalan besar mengenai hala tuju PAS sekiranya Bersatu benar-benar berpecah. “Persoalannya, Bersatu yang mana akan bersama PAS? Adakah PAS akan kekal bersama kumpulan Tan Sri Muhyiddin atau cenderung kepada kumpulan yang satu lagi?” katanya.
Mazlan mengingatkan bahawa sebelum ini terdapat isyarat kurang mesra daripada pimpinan PAS terhadap kem Muhyiddin, khususnya apabila Muhyiddin diangkat sebagai poster boy, satu langkah yang dilaporkan tidak dipersetujui sepenuhnya oleh PAS.
“Ini menimbulkan tanda tanya tentang pendirian PAS pada masa depan. Ke mana arah sokongan mereka jika perpecahan benar-benar berlaku?” ujarnya.
Sehubungan itu, Mazlan menegaskan Bersatu sepatutnya mengelakkan perpecahan dan memilih jalan damai, kerana pemimpin yang terlibat dalam tindakan disiplin itu bukan tokoh kecil.
“Pemimpin yang dipecat ini adalah pemimpin besar. Saifuddin Abdullah pernah menjadi menteri dan dianggap pemimpin kanan dalam Bersatu. Jika parti berpecah, kesannya bukan kecil, malah boleh melemahkan keseluruhan kekuatan politik Bersatu,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.