Pemimpin Masa Depan Tak Boleh Faham Kelompok Sendiri Sahaja – Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR | 24 Ogos 26 – Pemuda PAS perlu berani keluar daripada lingkungan dan kelompok mereka sendiri jika mahu melahirkan barisan pemimpin yang benar-benar memahami masyarakat serta perubahan dunia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, anak muda tidak seharusnya hanya bergerak dalam lingkungan yang selesa atau berinteraksi dengan kelompok yang mempunyai pandangan sama, sebaliknya perlu membuka ruang untuk berdialog dan bertukar pandangan dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Jangan hanya berada dalam ‘circle’ kita sendiri,” katanya menerusi perkongsian lima pesanan kepada Pemuda PAS di facebook, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Samsuri, golongan muda perlu berani bergaul dengan ahli akademik, usahawan, golongan profesional, tokoh masyarakat serta anak muda daripada pelbagai latar belakang bagi memahami dunia daripada sudut pandang yang lebih luas.

Katanya, perbezaan pandangan tidak semestinya menjadi penghalang untuk seseorang menimba ilmu kerana perkara lebih penting ialah kesediaan untuk mendengar, memerhati dan memahami perspektif orang lain.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menggesa Pemuda PAS supaya tidak menunggu pengalaman datang kepada mereka, sebaliknya mengambil sebanyak mungkin peluang untuk belajar, mencuba dan memikul tanggungjawab sejak usia muda.

Beliau turut menekankan kepentingan mempercepatkan proses menimba ilmu dan kemahiran dengan belajar daripada individu yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Jangan tunggu sampai usia meningkat baru hendak belajar. Belajarlah daripada orang lain. Dekati mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran,” katanya.

Ahmad Samsuri juga mahu lebih ramai anak muda menguasai pelbagai bahasa kerana penguasaan bahasa, katanya, mampu membuka pintu kepada ilmu, masyarakat dan dunia yang lebih luas.

Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, beliau menyebut kepentingan penguasaan bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Jepun, Korea dan bahasa-bahasa lain sebagai kelebihan strategik kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, Malaysia perlu mempunyai generasi muda yang mampu berkomunikasi dengan masyarakat dan dunia tanpa batas bahasa.

“Pemimpin masa hadapan tidak boleh hanya memahami kelompoknya sendiri. Dia mesti memahami masyarakat. Dia mesti memahami perubahan. Dan dia mesti memahami dunia,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata usia muda perlu digunakan untuk mengumpul ilmu, pengalaman, kemahiran dan membina jaringan kerana semua perkara itu akan menjadi bekalan apabila tiba masanya untuk memikul amanah yang lebih besar.

Beliau mahu PAS melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai semangat, tetapi turut memiliki ilmu, kemahiran, kematangan dan kesediaan untuk menyumbang kepada agama, masyarakat serta negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share