
ALOR SETAR | 16 Sep 26 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti Melayu diperluaskan dan tidak hanya tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, rundingan yang hanya melihat Melaka sebagai medan ujian akan menyukarkan usaha mencapai persefahaman kerana setiap parti turut mempunyai kepentingan dan kerusi yang mahu dipertahankan di negeri lain.
“Bukalah kotak, pergi luar. Senang berunding,” katanya ketika mengulas cadangan kerjasama politik menjelang PRN Melaka.
Sanusi memberi contoh pendekatan give and take dengan menyatakan jika satu pihak memberi empat kerusi di Melaka, rundingan boleh mengambil kira kerusi di negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Kalau bagi empat kerusi di Melaka, mungkin negeri-negeri boleh satu-satu, satu-satu beri. Ganti balik empat tu — Kedah satu, Kelantan satu, Terengganu satu, Perlis satu, berikan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan sedemikian akan membesarkan ruang rundingan dan tidak menjadikan pembahagian kerusi sebagai pertembungan kepentingan di satu negeri sahaja.
Kenyataan Sanusi itu hadir selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, yang menyaksikan UMNO memberi isyarat lebih cenderung mengadakan rundingan secara terus dengan PAS berbanding melalui kerangka Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kecenderungan itu dapat dilihat menerusi perbahasan dan pandangan perwakilan pada PAU 2026. Beliau berkata UMNO sebelum ini mengadakan rundingan dengan PAS dan PN, namun terdapat kecenderungan supaya rundingan dengan kepimpinan PAS diberi tumpuan.
Dalam konteks itu, cadangan Sanusi supaya rundingan kerusi diperluaskan kepada negeri-negeri lain menunjukkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menentukan pembahagian kerusi antara parti yang terlibat.
Sanusi turut menyentuh kedudukan kerusi yang boleh dipertimbangkan untuk rundingan di Melaka, selain menegaskan faktor seperti calon, kekuatan jentera, penyandang dan persiapan di kawasan perlu menjadi asas kepada tuntutan sesuatu kerusi.
“Jentera ramai, ada calon, persiapan dibuat, kerja dah lama, kita pun incumbent tempat tu. Itulah benda-benda yang menjadi asas perundingan,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan usaha penyatuan ummah tidak wajar hanya melibatkan dua parti, sebaliknya perlu membuka ruang kepada parti lain yang mahu menyertai usaha tersebut.
“Perpaduan ummah ni penting, kena melibatkan semua orang lah. Jangan libat dua-dua je. Orang lain pun kena dipanggil,” katanya.
Sanusi turut menyifatkan pendekatan rundingan secara timbal balik sebagai asas penting dalam mencapai persefahaman.
“Hang bagi, tempat hang tak ada aku bagi. Macam tu cakaplah. Hang seorang hang tak nak beri tapi hang nak orang, macam mana tu?” katanya.
Beliau berkata setakat ini perbincangan dengan pihak tertentu masih belum menghasilkan sebarang keputusan rasmi dan perkara berkaitan pembahagian kerusi perlu dibawa ke meja rundingan untuk dipertimbangkan bersama. @politiko.my