Plak W2020 Dialih Atas Faktor Keselamatan, Bukan Mahu Padam Nilai Sejarah

KUALA LUMPUR, 7 Jun 25 – Pihak Pengurusan Menara Kuala Lumpur, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) menafikan tuduhan tindakan mereka  mengalihkan plak penanda kapsul masa Wawasan 2020 berhasrat untuk ‘memadamkan unsur-unsur sejarah’ di lokasi tersebut.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata plak itu dialihkan atas faktor keselamatan pelawat yang mengunjungi Menara Kuala Lumpur.

“Plak itu pada asalnya berfungsi sebagai penutup ruang khas yang menempatkan kapsul masa. Selepas kapsul masa dibuka, kawasan plak dibiarkan kosong dan ia tidak lagi boleh ditutup dengan selamat seperti sebelum ini.

“Ia dikhuatiri mampu menimbulkan risiko kecederaan kepada pelawat yang melalui kawasan tersebut,” katanya dalam satu  kenyataan, baru-baru ini.

Khairil berkata plak berkenaan tidak lagi sesuai untuk dipamerkan secara rasmi kerana memaparkan logo korporat lama Menara Kuala Lumpur, selaras dengan pertukaran syarikat pengurusan menara tersebut.

Jelasnya, plak itu juga tidak dimusnahkan atau dibuang seperti didakwa, sebaliknya disimpan dengan baik oleh LSHSM.

Khairil bagaimana tidak menyatakan lokasi plak berkenaan disimpan.

Tegasnya, syarikat itu menafikan mahu memadamkan atau mengubah sejarah negara berhubung dengan pengalihan plak itu.

“Semua tindakan yang diambil sememangnya berdasarkan pertimbangan keselamatan, pematuhan korporat dan komitmen untuk memelihara legasi Menara KL,” katanya.

Ahli Parlimen Bersatu Wan Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan mengalih plak yang memperingati kapsul yang ditanam bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1996 sebelum dibuka pada 13 April lalu.

Kapsul masa itu mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi dan harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam gagasan Wawasan 2020.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu antara lain mendakwa tindakan berkenaan seolah-olah mahu memadam sejarah dan legasi Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkaitan dengan Menara Kuala Lumpur. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share