
KUALA LUMPUR, 8 Sep 25 — Pertikaian membabitkan bakal calon perdana menteri dari pembangkang wajar diselesaikan melalui perbincangan dalam kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN), kata ahli dewan tertinggi Muafakat Nasional Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Katanya, sebarang pertikaian yang dipamer secara terbuka tidak lebih dari sekadar membuka pekung di dada sendiri.
“Platform majlis kerja tertinggi PN merupakan satu saluran yang amat kondusif bagi membincangkan apa saja perbedaan pendapat secara tertutup.
“Kita tidak boleh membuka ‘pekung di dada’ kerana ianya akan merugikan semua pihak,” katanya, merujuk insiden kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hujung minggu lalu.
Laungan ‘undur Tan Sri’ bergema ketika Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kononnya terdapat komplot yang cuba menyingkirkannya daripada jawatan itu ketika beliau sedang berucap menyampaikan ucapan dasar.
Perwakilan ketika itu bertikam lidah antara penyokong Muhyiddin dan kumpulan yang tidak bersetuju dengan insiden tersebut.
“Kenapa harus melalak sedemikian rupa apabila PAT diadakan untuk mengizinkan semua pihak melontarkan pandangan kepada tokoh-tokoh pemimpin atasan sepertimana termaktub dalam perlembagaan parti.
“Sebab itu apa yang berlaku pada PAT Bersatu baru-baru ini oleh segelintir kecih ahli-ahli perwakilan amat memalukan.
“Amalan yang tidak bertamaddun serta tidak sihat ini jangan dibiarkan bertapak dalam mana-mana pertubuhan kita,” tegas Khairuddin.
Katanya, PN wajar menampilkan diri sebagai pertubuhan yang dilihat bersedia menggantikan kerajaan hari ini dan bukannya mempamerkan pertelingkahan yang akan menghakis sokongan rakyat.
“Jangan izinkan rakyat mentohmah permasalahan PN pun sama dengan gabungan parti-parti politik kerajaan yang nampak kini sebagai ‘marriage of convenient’ saja.
“PN sedang berada di landasan yang baik dan kita tidak boleh kelihatan berbalah sesama sendiri di kacamata rakyat.
“Penambahbaikan agenda PN sedang berlaku masa kini, sebab itu mana-mana unsur yang tidak baik yang boleh melemahkan kedudukan kita harus dihindari sama sekali,” tegas Khairuddin lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.