Politik Identiti Bukan Masalah, Cara Pemimpin Menggunakannya Jadi Penentu – Ahmad Fauzi

KUALA LUMPUR | 9 Sept 26 – Politik identiti tidak semestinya menjadi masalah kepada sesebuah negara, sebaliknya kesannya banyak bergantung kepada niat, hala tuju dan cara ia digunakan oleh pengamal politik.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, politik identiti berlaku apabila aktiviti politik dan sosial disusun berdasarkan identiti berkumpulan yang sama atau berkaitan, termasuk etnik, agama, wanita, hak asasi manusia dan kesatuan buruh.

Menurutnya, politik prestasi pula lebih menekankan hasil konkrit yang boleh diukur, khususnya dari segi petunjuk ekonomi, penjanaan kekayaan negara serta penyediaan perkhidmatan awam yang meyakinkan rakyat.

“Politik prestasi dinilai keberhasilannya melalui metrik yang telus dan boleh dibaca serta difahami oleh rakyat kebanyakan,” katanya ketika menjawab soalan Politiko mengenai polemik politik identiti dan politik prestasi.

Ahmad Fauzi berkata, bagaimanapun, tidak tepat untuk menganggap politik identiti secara automatik melemahkan politik negara.

Katanya, dalam keadaan tertentu, kelompok yang terpinggir masih memerlukan ruang untuk memperjuangkan hak mereka, termasuk masyarakat Orang Asli yang berdepan isu tanah dan dakwaan pencerobohan bagi tujuan pembalakan.

“Unsur hak asasi manusia mesti diambil kira, bukan setakat pembangunan ekonomi yang lazimnya bernuansakan unsur kapitalis,” katanya.

Beliau berkata, apabila hak kelompok yang tertindas dipenuhi, mereka juga akan mempunyai rasa keterikatan yang lebih kuat terhadap negara dan seterusnya terdorong untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Justeru, katanya, tidak ada kerugian untuk memberi perhatian kepada ketidakpuasan kelompok yang menggunakan politik identiti, khususnya dalam jangka panjang.

Ahmad Fauzi turut mengingatkan bahawa kesejahteraan masyarakat tidak boleh diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, katanya, pengagihan kekayaan yang lebih saksama antara sektor masyarakat yang berbeza turut perlu diberikan perhatian, termasuk kelompok yang mengalami kesan daripada beban sejarah dan bukan semata-mata akibat kelemahan mereka sendiri.

Dalam soal sama ada politik identiti boleh mengatasi politik prestasi atau sebaliknya, beliau berkata tiada jawapan mutlak kerana ia bergantung kepada niat, hala tuju dan trajektori pengamal politik dalam memacu sesebuah negara.

“Adakalanya satu jenis politik mengatasi yang lain, dan berlaku sebaliknya pada masa yang lain,” katanya.

Menurutnya, kecenderungan ahli politik juga boleh berubah mengikut iklim politik jangka pendek dan matlamat yang ingin dicapai dalam tempoh tertentu.

Namun, Ahmad Fauzi membezakan pendekatan ahli politik dengan seorang negarawan.

Katanya, ahli politik lazimnya menilai keperluan menyelesaikan masalah politik semasa dalam konteks demokrasi, manakala negarawan mengambil kira faktor jangka panjang dan kesan sesuatu keputusan terhadap generasi akan datang.

Perbezaan itu, katanya, menjadikan persoalan politik identiti dan politik prestasi bukan sekadar mengenai pendekatan mana yang lebih baik, tetapi bagaimana kedua-duanya digunakan untuk menghasilkan kesejahteraan yang lebih menyeluruh.

Dalam konteks itu, politik prestasi yang menghasilkan pertumbuhan ekonomi tetap penting, namun ia tidak seharusnya mengabaikan persoalan keadilan, hak kelompok terpinggir dan pengagihan kekayaan.

Begitu juga politik identiti, katanya, tidak semestinya membawa kesan negatif sekiranya digunakan untuk memperjuangkan hak serta kepentingan kelompok yang benar-benar memerlukan pembelaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share