
KUALA LUMPUR, 13 Ogos 25 — Kerajaan digesa mencari kaedah terbaik melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk mengantarabangsakan artis -artis Malaysia bagi membolehkan masyarakat dunia mengenali Malaysia, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua portfolio komunikasi Perikatan Nasional (PN) berkata, kerencaman budaya dan kepelbagaian etnik di negara ini berpotensi menjadi elemen yang boleh dipromosikan di luar negara untuk membolehkan ia menjadi hasil kepada negara.
“Kenapa RMK13 tidak namakan sektor strategi masa depan. Kementerian komunikasi harus berusaha keras posisi industri kreatif sebagai pemangkin bagi menambah kerencaman ekonomi sumber pendapatan negara.
“Saya cadangkan kerajaan perbesarkan dana pembangunan industri kreatif, pastikan diselia bebas, berikan sokongan geran latihan dan cipta platform pemasaran baru untuk pencipta kandungan kita.
“Saya nak cadang artis kita di bawa ke luar negara. Kerencaman kita dijual dan dipromosikan ke luar negara. Jangan kita jadi penonton orang luar buat persembahan di negara kita,” katanya dalam perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun mengambil peluang menggunakan industri kreatif mereka sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan soft power mereka.
“Jepun, Korea Selatan, dan negara lain yang telah lama melihat industri kreatif mereka, muzik, perfileman, dan seni budaya mereka sebagai pemacu, pertumbuhan ekonomi dan soft power negara.
“Kalau tengok Korea Selatan mereka menjadikan K-pop bukan sekadar hiburan tetapi sebagai eksport yang strategik ke peringkat global.
“Artis mereka bukan sekadar artis dianggap sebagai duta jenama negara dan begitu juga barang daripada Korea kalau sekarang makan ni dulu kita makan Maggi sekarang orang cakap pasal Samyang,” katanya.
Namun, kata Wan Saiful, dalam RMK13 kerajaan tidak beri penekanan serius, dalam sektor ini kita seolah tidak sedar peluang ekonomi, ‘soft diplomacy’, yang boleh dijana oleh industri kreatif. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.