
KUALA LUMPUR | 11 Julai 26 – Naib Presiden BERSATU (Digantung), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggesa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bermesyuarat dengan kadar segera bagi menilai kedudukan semasa BERSATU dalam gabungan itu susulan krisis dalaman yang menurutnya semakin meruncing dan berpotensi menjejaskan kesiapsiagaan PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kepentingan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik yang menjadi harapan jutaan rakyat mesti mengatasi kepentingan mana-mana individu, justeru krisis yang berlarutan dalam BERSATU tidak boleh lagi dianggap sebagai isu dalaman parti semata-mata.
“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional wajar bermesyuarat dengan kadar segera bagi menilai kedudukan semasa BERSATU dalam gabungan Perikatan Nasional serta mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu demi memastikan kestabilan, kredibiliti dan kesiapsiagaan Perikatan Nasional tidak terjejas akibat krisis dalaman sebuah parti komponen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ronald berkata, kenyataan Presiden BERSATU bahawa kemelut parti akan diselesaikan secara dalaman masih gagal menjawab persoalan paling asas, iaitu sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU masih boleh berfungsi dan bermesyuarat secara sah mengikut Fasal 13.12 Perlembagaan parti yang mensyaratkan kehadiran korum melebihi separuh daripada jumlah Ahli MPT.
Beliau berkata, kegagalan membuktikan syarat korum masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT.
“Apabila korum tidak lagi mencukupi, BERSATU berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran, sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti,” katanya.
Menurut Ronald, tindakan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi meletakkan jawatan juga merupakan manifestasi jelas kegagalan Presiden BERSATU menguruskan krisis dalaman sehingga hilang keyakinan sebahagian besar kepimpinan tertinggi parti.
Beliau turut berpandangan kemelut yang berlarutan itu bukan sahaja menjejaskan kedudukan BERSATU sebagai sebuah parti politik, malah berpotensi mengganggu kelancaran pentadbiran serta perancangan strategik Perikatan Nasional menjelang PRN Negeri Sembilan.
“Krisis yang berlarutan tanpa penyelesaian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan ini untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa,” katanya.
Ronald turut menyifatkan kemelut dalaman BERSATU sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak menolak kemungkinan campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) diperlukan sekiranya isu berhubung keabsahan pentadbiran parti gagal diselesaikan mengikut Perlembagaan.
Terdahulu, Radzi dilaporkan berkata jumlah Ahli MPT BERSATU ketika ini ialah 23 orang dan syarat kuorum mesyuarat ialah separuh daripada jumlah tersebut, iaitu 12 orang.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan mengenai kesahan mesyuarat MPT susulan pengurangan bilangan anggota pimpinan tertinggi parti. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.