
PUTRAJAYA | 10 Mac 26 – Inisiatif “Rumah Bangsa” yang digagaskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dilihat sukar mencapai matlamat selagi parti itu masih bekerjasama dengan Democratic Action Party (DAP), kata bekas Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik.
Menurut beliau, usaha UMNO untuk menarik kembali bekas ahli yang meninggalkan parti itu hanya boleh berlaku sekiranya beberapa perubahan besar dilakukan, termasuk menamatkan kerjasama dengan DAP yang didakwa sukar diterima oleh sebahagian besar orang Melayu.
Rahim berkata, sentimen dalam kalangan masyarakat Melayu menunjukkan mereka tidak selesa dengan kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut.
“Orang Melayu tak dapat menerima kerjasama antara UMNO dan DAP. Kalau ada hasrat UMNO untuk mengenepikan DAP, ia akan memudahkan orang Melayu yang mahu kembali semula kepada UMNO,” katanya kepada politiko ketika Majlis Iftar Anjuran Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, malam tadi.
Selain itu, beliau turut berpandangan bahawa pembaharuan di peringkat kepimpinan tertinggi parti juga perlu dilakukan bagi memulihkan keyakinan rakyat.
Katanya, UMNO memerlukan kepimpinan baharu yang lebih bersih serta kurang dibayangi rekod kontroversi bagi mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap perjuangan asal parti.
Rahim turut mencadangkan kemungkinan pembentukan gagasan politik baharu melibatkan kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) serta jajaran politik lain bagi memperkukuh kekuatan politik Melayu di negara ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, turut mempersoalkan keberkesanan konsep “Rumah Bangsa” jika UMNO masih mengekalkan hubungan politik dengan DAP.
Menurutnya, konsep tersebut difahami sebagai usaha untuk memperkukuh agama dan bangsa, namun kerjasama dengan DAP menimbulkan persoalan terhadap matlamat sebenar inisiatif berkenaan.
“Saya faham Rumah Bangsa ini untuk memperkukuh dan memperkasakan agama serta bangsa. Tetapi UMNO masih lagi bekerjasama dengan DAP. Jadi bagaimana rumah bangsa itu hendak diperkukuhkan?” katanya.
Beliau berpendapat hubungan antara UMNO dan DAP wajar dinilai semula terlebih dahulu sebelum sebarang usaha memperluaskan gagasan politik melalui konsep “Rumah Bangsa” diteruskan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.