“Rundingan atau Serah Tengkok?” — Isham Kecam Perjanjian RM1 Trilion Mas–AS

KUALA LUMPUR, 27 Okt 25 — Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, hari ini mengecam keras Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat yang diumumkan sempena lawatan rasmi bekas Presiden AS, Donald Trump, ke Kuala Lumpur.

Menurut Isham, kandungan perjanjian tersebut menunjukkan Malaysia seolah-olah menanggung beban komitmen tidak seimbang dengan nilai mencecah lebih RM1 trilion, berbanding manfaat yang diterima daripada pihak Amerika Syarikat.

“Dia (Amerika) janji satu perkara sahaja — kenakan tarif 19 peratus kepada kita. Tapi kita pula janji dan komited dengan 12 perkara lain,” katanya.

Isham mendakwa antara komitmen yang dibuat kerajaan ialah pembelian 30 pesawat dengan opsyen tambahan 30 unit, pembelian komponen aeroangkasa dan semikonduktor bernilai USD150 bilion, serta pembelian Gas Asli Cecair (LNG) sebanyak 5 juta tan setahun dianggarkan bernilai USD3.4 bilion setahun.

Beliau turut menyebut pembelian arang batu dan produk telekomunikasi bernilai USD204 juta, serta pelaburan dana modal di Amerika Syarikat berjumlah USD70 bilion, menjadikan nilai keseluruhan komitmen mencecah USD250 bilion atau lebih RM1 trilion.

“Jumlah ini lebih separuh daripada saiz ekonomi Malaysia. Dan kita jemput dia datang sini serta puji-puji dia. ‘Bijak’ betul skill rundingan PMX,” sindir Isham.

Katanya, komitmen sebesar itu menimbulkan persoalan besar tentang kemampuan Malaysia untuk membiayainya tanpa menambah beban hutang negara.

“Mana kita nak cari duit untuk bayar semua ini? Tambah hutang lagi? Ini amat bodoh dan lemah,” tegasnya.

Perjanjian perdagangan tersebut dilihat sebagai langkah memperkukuh hubungan ekonomi dua hala Malaysia–Amerika Syarikat melalui kerjasama dalam sektor pertahanan, aeroangkasa, tenaga, semikonduktor dan ekonomi digital.

Kerajaan dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa rundingan itu bertujuan menarik pelaburan bernilai tinggi, meningkatkan eksport tempatan serta membuka peluang teknologi baharu kepada industri Malaysia, bukan semata-mata komitmen pembelian.

Namun begitu, kritikan Isham menzahirkan kegusaran bahawa Malaysia mungkin berdepan risiko ketidakseimbangan ekonomi dan diplomatik jika pelaksanaan perjanjian itu tidak dikawal dengan teliti.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Apa PN Mahu? Soal Penganalisis

"Bawa wajah yang rakyat mudah hadam, biar mereka faham apa agenda sebenar PN. Agenda pemerkasaan Melayu seperti payung besar. Muafakat nasional antara PAS, Umno, atau Bersatu atau bentuk gabungan mewakili semua kaum.
Read More
Total
0
Share