Saifuddin: Naturalisasi 7 Pemain Warisan Ikut Undang-Undang, Tiada Dokumen Palsu

KUALA LUMPUR, 9 Okt 25 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa proses naturalisasi tujuh pemain bola sepak warisan negara dilakukan sepenuhnya mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata semua dokumen yang digunakan dalam permohonan kewarganegaraan pemain berkenaan adalah sah dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas melalui proses semakan dan temu bual yang ketat.

“Tiada dokumen palsu dikemukakan. Setiap permohonan diperiksa dengan teliti oleh JPN mengikut Akta Kewarganegaraan 1964,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa isu kelayakan pemain mewakili negara adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FIFA, bukan undang-undang kewarganegaraan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan (PN-Kangar), berhubung dakwaan pemalsuan dokumen dalam kes naturalisasi pemain bola sepak negara.

Kontroversi timbul selepas FIFA dilaporkan sedang menyiasat dakwaan bahawa FAM mengemukakan dokumen tidak sah bagi tujuan pendaftaran beberapa pemain naturalisasi, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai integriti proses kelulusan kewarganegaraan dalam arena sukan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share