
SUNGAI PETANI | 7 Julai 26 – Kerajaan Kedah akan meneruskan tekanan terhadap Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula status penuh bebas cukai Langkawi yang didakwa semakin terhakis akibat pengurangan beberapa keistimewaan sejak beberapa tahun lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha tersebut akan menjadi antara keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan sektor pelancongan dan ekonomi pulau peranginan itu kembali berdaya saing.
“Kita dah cakap sipi-sipi, tak diambil tindakan. Selepas ini kena ‘perang’ balik dengan Persekutuan untuk mengembalikan status penuh bebas cukai Langkawi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana PRU16 PAS Kawasan Sungai Petani, Ahad lalu.
Menurut beliau, perjuangan itu selari dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang beberapa kali menzahirkan kebimbangan terhadap pengurangan keistimewaan Langkawi sebagai pulau bebas cukai.
Sanusi berkata, titah baginda supaya Langkawi dibangunkan berasaskan identiti sendiri tanpa meniru destinasi seperti Phuket atau Bali turut mengukuhkan pendirian kerajaan negeri untuk mempertahankan keunikan pulau tersebut.
Beliau menegaskan perbandingan antara Langkawi dengan Phuket adalah tidak wajar kerana kedua-duanya mempunyai konsep pelancongan yang berbeza.
“Phuket terkenal dengan hiburan, perjudian dan pelbagai aktiviti yang tidak sesuai dengan identiti Langkawi. Langkawi tidak boleh mengikut model seperti itu kerana akan merosakkan identitinya,” katanya.
Dalam masa sama, Sanusi turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa sebuah kawasan baharu di selatan tanah air bakal diberikan keistimewaan bebas cukai bagi membawa masuk kenderaan mewah, yang menurutnya boleh menjejaskan daya tarikan ekonomi Langkawi.
Beliau berkata, penarikan pengecualian cukai terhadap kenderaan mewah sebelum ini telah memberi kesan kepada industri pelancongan pulau tersebut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pengerusi Ferrari Malaysia, keputusan itu menyebabkan Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM400 juta apabila pembeli kereta mewah beralih ke negara lain.
“Golongan berpendapatan tinggi yang sebelum ini datang membeli kereta mewah di Langkawi turut berbelanja di hotel, restoran dan pusat beli-belah. Apabila tarikan itu tiada, limpahan ekonomi kepada Langkawi juga hilang,” katanya.
Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menegaskan Pulau Langkawi perlu dibangunkan berasaskan identiti dan keunikan tersendiri, tanpa meniru atau dibandingkan dengan destinasi pelancongan terkenal seperti Phuket di Thailand atau Bali di Indonesia.
Baginda bertitah, Langkawi merupakan aset strategik kepada negeri Kedah dan negara yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara lestari agar terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Pada masa yang sama, media melaporkan kerajaan negeri telah memulakan sesi libat urus dengan Kerajaan Persekutuan bagi menetapkan semula hala tuju Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya.
Pada pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober 2025. Kerajaan mengumumkan untuk mengehadkan pengecualian cukai kenderaan hanya untuk yang bernilai RM300,000 dan ke bawah. Langkah ini diambil bagi mengekang ketirisan cukai oleh golongan maha kaya yang menyalahgunakan status pulau bebas cukai untuk membeli kenderaan mewah (supercar) seperti Ferrari dan Lamborghini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.