
KUALA LUMPUR, 11 Okt 25 —Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa malu dan kecewa terhadap skandal pewarisan pemain bola sepak negara yang kini mengundang perhatian antarabangsa, sambil mendakwa wujud “tangan berkuasa” di sebalik isu itu.
Dalam kenyataannya kepada Sinar Daily, Dr Mahathir menyifatkan skandal itu sebagai satu tamparan besar terhadap maruah Malaysia.
“It is a shameful thing that happened to Malaysia. It makes Malaysia look bad in the eyes of the world,” katanya. (Ini perkara yang memalukan bagi Malaysia. Ia menjadikan Malaysia kelihatan buruk di mata dunia.)
Beliau turut menuduh wujud amalan keadilan terpilih (selective justice) apabila tindakan terhadap mereka yang berkuasa tidak diambil secara adil, berbanding pihak lain yang tidak bersalah tetapi tetap dikenakan tindakan.
“There must be some powerful somebody behind all this, because some people who do wrong are not punished, while those who did not do anything wrong are punished. That is not justice,” katanya lagi. (Mesti ada seseorang yang berkuasa di sebalik semua ini, kerana ada orang yang bersalah tidak dihukum, manakala yang tidak bersalah pula dihukum. Itu bukan keadilan.)
Skandal yang melibatkan dakwaan pemalsuan dokumen asal pemain bola sepak naturalisasi Malaysia itu telah mencetuskan kritikan antarabangsa, termasuk kebimbangan terhadap tahap integriti pentadbiran sukan negara.
Dr Mahathir menegaskan bahawa keadilan tidak boleh dijadikan alat pilih kasih, dan negara tidak boleh terus dilihat melindungi mereka yang mempunyai hubungan politik atau kedudukan istimewa.
“It is selective justice, and that is wrong. Justice should be for everybody, not just for selected people,” tambahnya. (Ini adalah keadilan terpilih, dan itu salah. Keadilan sepatutnya untuk semua orang, bukan hanya untuk golongan tertentu.)
Kenyataan itu, walaupun ringkas, membawa mesej politik yang kuat bahawa Malaysia bukan sekadar berdepan krisis sukan, tetapi krisis kepercayaan terhadap sistem keadilan yang pincang.
Apabila Dr Mahathir menyebut tentang “some powerful somebody”, mesejnya jelas: isu ini bukan sekadar soal bola sepak, tetapi soal siapa yang berani disentuh dan siapa yang terus kebal.
Walaupun FAM menafikan sebarang salah laku dan menyatakan ia hanyalah “kesalahan pentadbiran” yang berpunca daripada pengurusan ejen, Dr Mahathir menegaskan bahawa isu tersebut tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia telah mencalarkan reputasi negara di peringkat antarabangsa.
Katanya, keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai pengaruh politik dan kuasa di belakang tabir dalam urusan yang sepatutnya dikawal selia secara profesional. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.