“Sukuk TH: Jangan Keliru Bayar Keuntungan Dengan Langsaikan Hutang” – Wawasan Negara

KUALA LUMPUR | 14 Ogos 26 – Naib Presiden Parti Wawasan Negara merangkap Pengerusi Biro Ekonomi, Datuk Omar Mustapha mengingatkan supaya pembayaran keuntungan sukuk tidak disamakan dengan pelunasan hutang pokok Tabung Haji, susulan penjelasan kerajaan mengenai penstrukturan semula sukuk berkenaan di Parlimen minggu ini.

Omar berkata, persoalan sebenar bukan sama ada keuntungan sukuk terus dibayar, tetapi berapa banyak daripada nilai prinsipal yang benar-benar telah dilangsaikan dan berapa banyak yang sekadar ditangguhkan melalui penstrukturan semula.

Beliau berkata, Sukuk Siri Pertama UJSB yang matang pada Mei lalu melibatkan kira-kira RM12.5 bilion yang masih perlu dibayar kepada Tabung Haji.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM965 juta diselesaikan melalui pemindahan tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dan sebuah ladang di Sarawak kepada Tabung Haji, manakala baki kira-kira RM11.5 bilion distruktur semula sebagai terbitan baharu untuk tempoh 10 tahun pada kadar keuntungan 3.825 peratus setahun.

“Lebih 92 sen daripada setiap RM1 digolek untuk 10 tahun lagi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Omar, penstrukturan semula itu membolehkan Tabung Haji menerima kira-kira RM440 juta tunai setiap tahun sebagai bayaran keuntungan, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif berbanding keadaan sebelum ini apabila hibah dibayar berdasarkan pendapatan di atas kertas.

Namun, katanya, pembayaran keuntungan tidak bermakna hutang pokok telah selesai.

“Memang ada beza besar antara bayar keuntungan hutang dengan selesaikan hutang,” katanya.

Omar turut menegaskan beliau tidak mempertikaikan langkah penyelamatan Tabung Haji pada 2018 kerana keadaan aset institusi itu ketika itu memerlukan tindakan bagi melindungi kepentingan pendeposit.

Sebaliknya, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada bil tersebut benar-benar sedang dibayar atau sekadar ditolak ke hadapan.

Lebih penting, beliau mempersoalkan ketiadaan penyata awam lengkap mengenai jumlah yang berjaya dikutip semula oleh UJSB daripada aset bernilai RM19.93 bilion yang diambil alih pada 2018.

“Kita tahu berapa nilai kertas itu. Kita masih tak tahu berapa nilai rumah itu bila dijual,” katanya.

Sehubungan itu, Omar mendesak kerajaan menerbitkan penyata lengkap kepada umum mengenai jumlah yang telah berjaya dikutip semula daripada aset RM19.93 bilion tersebut serta ke mana hasil berkenaan disalurkan.

Katanya, pendeposit Tabung Haji termasuk guru, peniaga kecil dan pesara kerajaan berhak mengetahui kedudukan sebenar wang mereka.

“Sepuluh tahun, kemudian 10 tahun lagi, dan akhirnya hutang ini diwariskan kepada generasi yang tidak pernah diberi peluang untuk bersetuju,” katanya.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share