Tak Perlu Manifesto PRN Johor, Tak Sasar Ambil Alih Kerajaan Negeri – PAS

JOHOR BAHRU | 6 Juali 26 – PAS memutuskan tidak membentangkan manifesto khusus bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana parti itu tidak bertanding untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kerusi yang ditandingi parti itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan, justeru pendekatan yang diambil adalah memberi fokus kepada peranan sebagai pembangkang yang berkesan.

“Manifesto ini biasanya merujuk kepada bilangan kerusi yang kita tandingi. Kita hanya bertanding 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jadi dalam konteks ini, parti tidak perlu mengemukakan manifesto kerana kita bukan bertanding untuk mengambil alih kerajaan negeri,” katanya pada sidang media sempena kempen PRN Johor.

Beliau berkata, keutamaan PAS dalam pilihan raya kali ini ialah memastikan wujud semak dan imbang yang lebih berkesan dalam Dewan Undangan Negeri Johor.

Menurutnya, walaupun tiada manifesto menyeluruh, PAS tetap menawarkan penyelesaian terhadap isu-isu setempat di kawasan yang ditandinginya.

“Kita ada beberapa tawaran di kawasan tertentu berdasarkan keperluan pengundi setempat untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Secara umumnya memang ada beberapa fokus yang kita mahu bawa, tetapi belum sesuai untuk diterjemahkan sebagai satu manifesto negeri,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, strategi PAS pada PRN Johor lebih tertumpu kepada memperkukuhkan peranan pembangkang memandangkan UMNO dijangka terus menjadi parti dominan di negeri itu.

“Johor ini UMNO masih kuat dengan jumlah kerusi yang mereka miliki. Jadi kita melihat peranan kita adalah untuk mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, PAS percaya kehadiran wakil rakyat parti itu dalam DUN mampu memperkukuhkan fungsi semak dan imbang serta memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share