
KUALA LUMPUR, 4 Jan 26 — Pertubuhan bukan kerajaan Melayu-Islam, UMMAH Malaysia, menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menekankan keperluan mendesak penyatuan Melayu-Ummah demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, berkata beliau mengikuti keseluruhan ucapan Dr Akmal di Konvensyen UMNO dan berpendapat pandangan yang disampaikan mencerminkan persiapan serta pemikiran strategik yang mendalam mengenai masa depan politik orang Melayu.
Menurut Mohd Zai, seminggu sebelum konvensyen berlangsung, beliau bersama beberapa pimpinan NGO Melayu-Islam telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Dr Akmal berkaitan agenda penyatuan Melayu serta kaedah pelaksanaannya, yang kemudiannya dizahirkan secara terbuka dalam ucapan tersebut.
“Saya tidak menemukan satu pun perkara yang saya tidak setuju dalam ucapan Dr Akmal. Beliau jelas telah membuat ‘homework’ yang teliti mengenai keperluan mendesak menyatukan orang Melayu dan Ummah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, UMMAH Malaysia menyokong pandangan Dr Akmal yang mencadangkan UMNO mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan Madani, susulan dakwaan pelanggaran “garis merah” yang dipersetujui, khususnya melibatkan tindakan pemimpin DAP.
“UMNO adalah parti keramat orang Melayu. Jika berada di luar kerajaan membolehkan UMNO menjadi pembangkang yang lebih bermaruah dan tegas mempertahankan prinsip, maka perkara itu wajar dipertimbangkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar gerakan penyatuan ini dijuarai oleh Pemuda UMNO dan Pemuda PAS, dengan sokongan pimpinan NGO dan NGI, sebagai langkah membina masa depan negara yang lebih kukuh serta bermaruah untuk orang Melayu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.