
KUALA LUMPUR | 7 Sep 26 – Kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam landskap politik tanah air berdepan persoalan baharu apabila Pas mula membina kapasiti kepimpinan sendiri, selain kemunculan alternatif seperti Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara).
Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhi Wei berkata, kehadiran Bersatu sebelum ini penting bagi menampung kekangan imej Pas yang dilihat sukar menerajui jawatan tertinggi negara sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, kerjasama politik pada asasnya terbina atas nilai tawaran (value proposition) yang jelas, namun perubahan dalam Pas dan kemunculan parti baharu boleh mengubah nilai tersebut.
“Pas tidak boleh mengambil kepimpinan tertinggi sebagai calon Perdana Menteri atas faktor imej. Anda tidak boleh menjangkakan pimpinan Pas menjadi calon Perdana Menteri.
“Justeru, anda perlukan seseorang, iaitu Bersatu yang mempunyai teknokrat, bekas menteri, pemimpin berpengalaman dan pelbagai elemen yang tidak dimiliki Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu dalam Naratif PN-BN” di sini, Sabtu lalu.
Forum itu turut menampilkan Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Riche Huan sebagai panel.
Bagaimanapun, Lau berkata keadaan itu boleh berubah apabila Pas sendiri mula mengangkat kelompok teknokrat, manakala kemunculan Wawasan Negara pula menyediakan satu lagi alternatif dalam landskap politik.
“Dalam senario terburuk, kita kini mempunyai Wawasan Negara. Apa sahaja perkara yang boleh dibekalkan oleh Bersatu, Wawasan Negara juga boleh menyediakannya dengan mudah. Jadi, apakah nilainya?” katanya.
Beliau berkata persoalan sama turut timbul dalam konteks usaha mendapatkan sokongan masyarakat bukan Melayu.
“Sebagai contoh, apa yang Wawasan Negara boleh tawarkan kepada komuniti Cina? Kerana kita sudah bercakap mengenai parti Cina bersama MCA, kita bercakap tentang pelbagai etnik, kita ada Gerakan, kita ada DAP dan sebagainya. Jadi, apakah nilai sebenar yang ditawarkan?” soalnya.
Dalam pada itu, Lau memberi amaran bahawa ketandusan naratif boleh mendorong parti politik menggunakan pendekatan political outbidding semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
“Dulu, ada parti yang mengetengahkan naratif seperti Islam progresif sebagai sesuatu untuk dijual kepada masyarakat.
“Sama ada rakyat terima atau tidak, itu cerita lain, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu untuk disajikan.
“Hari ini, apabila ketandusan naratif seumpama itu, jalan terakhir yang sering dilihat adalah politik outbidding,” katanya.
Hujah Lau itu secara tidak langsung meletakkan persoalan lebih besar terhadap kedudukan Bersatu dalam gabungan politik Melayu-Islam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.