Oleh : Azman

Saya lihat Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 kini menunjukkan ada pergolakan dalaman yang semakin ketara.
Meskipun proses rasmi bagi jawatan tertinggi hanya akan berlangsung pada 24 Mei, keputusan di peringkat cabang mula memberi bayangan jelas tentang hala tuju sokongan akar umbi, dan lebih penting lagi — siapa sebenarnya menguasai medan kuasa PKR hari ini.
Dalam pemilihan 2022, Rafizi Ramli muncul sebagai pemenang besar, mengalahkan Saifuddin Nasution dan mengukuhkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Beliau membawa harapan baru kepada sebahagian besar akar umbi — wajah pembaharuan, teknokrat muda, dan strategi politik data-driven yang dilihat segar berbanding generasi lama. Namun selepas menjadi menteri, dia mula menjadi bahan jenaka, popular sebagai ‘Raja Formula’.
Dan, natijahnya, dalam pemilihan cabang baru-baru ini, beberapa tokoh penting yang rapat dengan Rafizi tewas secara mengejut, termasuk Akmal Nasrullah (Ahli Parlimen Johor Bahru).
Ini bukan sekadar kekalahan individu — ia isyarat bahawa jentera kem Rafizi mungkin tidak lagi sekuat dahulu, ini mungkin kerana ‘trauma’ kerana menjadi ejeken pembangkang dan rakan sebagai ‘Raja Formula’.
Apa yang sedang berlaku? Ada yang mengatakan dalam politik dalaman parti, kemenangan bukan hanya soal visi, tetapi juga keupayaan membina pakatan dan setia kawan — dan di sinilah kelemahan mula terserlah.
Rafizi sebenarnya tiada rakan pasukan, yang ada hanyalah ‘pekerja’. Memang dia terkenal sebagai ‘one man show’. Dia adalah CEO, lain daripada itu adalah ‘subordinat’ semata-mata.
Menariknya, pemilihan kali ini juga menyaksikan kemunculan calon-calon yang tidak berpaut kepada mana-mana kem besar. Mereka bukan orang Rafizi, bukan juga penyokong tegar Anwar atau Saifuddin.
Media menyebut mereka sebagai ‘kumpulan ketiga’ — satu gelombang baharu yang membawa aspirasi pembaharuan tanpa beban sejarah. Adakah mereka ini generasi baru? Siapa pemimpin mereka? Nurul Izzah? Amiruddin? Farhash?
Kemenangan kumpulan ini dibeberapa cabang strategik membayangkan satu perkara: akar umbi sedang menghantar mesej. Mereka mungkin jemu dengan politik fraksional dalam PKR, dan mula mencari suara alternatif yang lebih tulen, bebas, dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
Realitinya, apa sahaja yang berlaku dalam PKR akan mencerminkan kekuatan atau kelemahan kepimpinan Perdana Menteri sendiri. Anwar tidak akan dapat mengelak dari naratif ini.
Jika kem Rafizi — yang sering dilihat rapat dengan strategi pentadbiran kerajaan — goyah, ia boleh membawa implikasi besar terhadap gabungan kerajaan perpaduan secara keseluruhan. Kemungkinan rombakan kabinet akan berlaku bagi membendung kelemahan kerajaan kesan dari pemilihan ini.
PKR pernah menjadi simbol reformasi. Ia lahir dari semangat melawan ketidakadilan, bukan dari kalkulasi kuasa. Hari ini, parti itu berdiri di persimpangan besar — antara kestabilan, perubahan, dan mungkin, perpecahan.
Apa yang dipilih oleh akar umbi PKR adalah mesej agar parti itu perlu keluar dari retorik politik yang tak berkesudahan.
Tanya pada sejarah — berapa banyak parti yang tumbang bukan kerana musuh luar, tetapi kerana retak dalamannya sendiri?
Azman Adalah Penyokong PH Yang Kecewa Pada Kerajaan Perpaduan