Bangunkan Kawasan Melayu di KL Tanpa Usir Penduduk, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan kawasan penempatan Melayu yang usang seperti rumah berdinding papan reput dan bumbung zink berkarat di Kuala Lumpur sememangnya perlu diperbaharui namun proses itu katanya tidak seharusnya mengakibatkan perpindahan penduduk Melayu sehingga Kuala Lumpur kehilangan identiti asalnya.

Katanya, kawasan kawasan Melayu boleh dibangunkan dengan mengekalkan elemen tradisional dan moden secara harmoni.

“Contohnya, reka bentuk seperti Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur dan Resort Bon Ton di Langkawi menunjukkan bagaimana bangunan moden boleh diserasikan dengan identiti kemelayuan.

“Malaysia mempunyai ramai arkitek berbakat yang mampu mereka bentuk bangunan bercirikan ukiran dan seni bina Melayu,” katanya, dalam hantaran di media sosial.

Dr Mahathir berkata, bangunan bertingkat yang menggabungkan flat mewah, separuh mewah, dan kos rendah boleh didirikan, menjadikan setiap tingkat sesuai untuk keperluan berbeza.

Negarawan itu berkata, pembangunan itu boleh direalisasikan oleh institusi seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai dana besar.

“Penduduk Melayu yang tanahnya terlibat perlu diberi pampasan adil, membolehkan mereka membeli atau menyewa premis baharu dengan kadar insurans rendah.

“Usaha ini tidak hanya sekadar membantu penduduk tetapi juga melatih mereka mengurus perniagaan dengan lebih sistematik,” katanya.

Dr Mahathir berkata, dengan mengekalkan elemen Melayu dalam pembangunan bandar, Kuala Lumpur boleh menjadi destinasi pelancongan yang unik, mempamerkan gabungan kemajuan dan warisan budaya.

Jelasnya, usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Melayu tetapi juga mengukuhkan identiti ibu kota Malaysia di mata dunia. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share