Oleh : Dr Tengku Muhammad Fakhruddin

Dalam suasana politik pasca-PRU15 yang semakin mencabar, Perikatan Nasional (PN) kini berada di persimpangan penting – antara kekal dalam keselesaan nostalgia kemenangan lalu atau bangkit melakukan transformasi strategik untuk menjadi gabungan paling diyakini rakyat menjelang PRU16.
Jika kita meneliti suara rakyat di bawah, mereka bukan lagi hanya mahu pembangkang yang vokal. Mereka mahu pembangkang yang bersedia mengambil alih. Pembangkang yang ada trek record, ada pelan, ada jurucakap, dan ada keupayaan mengurus negara lebih baik dari kerajaan sedia ada.
Dan untuk itu, PN perlu dirombak – bukan dari segi gabungan, tetapi dari segi struktur, fungsi dan pendekatan. Bukan lagi politik nostalgia, tetapi politik solusi.
Jurucakap Nasional: Dari Bertahan Kepada Menyerang Balik
Rakyat menghadapi pelbagai krisis harian: harga barang naik, doktor kontrak swasta angkat kaki, projek rumah rakyat terbengkalai, graduan tak dapat kerja. Namun siapa yang bangkit pertama membela rakyat?
PN mesti tampil dengan seorang jurucakap nasional yang tidak sekadar mengulas isu – tetapi menjuarai isu. Kita perlu watak yang berani ke hadapan sebelum media arus perdana sempat memutar belit fakta. Watak yang bukan sekadar ‘penerang’, tetapi ‘penyerang balas’ dengan data, dengan hujah, dan dengan penyelesaian.
Rakyat tidak kisah siapa jurucakap itu — tua atau muda, dari PAS atau Bersatu — yang penting: konsisten, cepat dan lantang. Jika PN lambat ambil ruang ini, pihak lawan akan terus mendominasi medan persepsi.
SG4 Sebagai Model Negara: Federalisme Adil, Budaya Politik Sejahtera
Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah menunjukkan bahawa pentadbiran bersih, stabil dan berjiwa rakyat mampu wujud tanpa kebergantungan penuh kepada Putrajaya. Ini bukan teori — ini bukti di depan mata.
SG4 bukan retorik politik. Ia adalah contoh bagaimana pentadbiran negeri yang ditadbir PN mampu menawarkan pelaburan yang beretika, pengurusan air dan tanah yang lebih cekap, serta tumpuan kepada pembangunan rakyat sebenar – bukan sekadar mega projek penuh simbolisme.
PN mesti membina naratif bahawa SG4 ialah acuan baru ekonomi Malaysia. Sebuah sistem yang lebih adil kepada semua negeri, di mana keputusan tidak dimonopoli kerajaan pusat, dan hak negeri tidak disekat demi perbezaan politik.
Di sinilah letaknya nilai “federalisme matang” yang selama ini dicanang kerajaan madani, tetapi gagal mereka laksanakan. PN mesti jadi juara reformasi struktur hubungan pusat-negeri, bukan hanya dalam ucapan, tetapi dalam pelan tindakan.
Fungsi Penerangan: Bukan Lagi Penyampai, Tetapi Penggerak Naratif
Dalam era TikTok, Twitter dan WhatsApp, politik persepsi bergerak lebih laju daripada politik dasar. Apa yang berlaku hari ini akan hilang relevansi esok — jika tidak ditangani secara strategik.
Ketua penerangan dan jentera media PN mesti menjadi nadi kepada gerakan perubahan ini. Ia tidak lagi cukup untuk sekadar menghasilkan infografik atau poster ucapan. Rakyat mahukan fakta, tetapi mereka juga mahukan harapan. Mereka perlukan angka, tetapi juga cerita.
Pasukan penerangan perlu menjadi ‘war room’ sebenar kepada PN — memantau sentimen, menyusun naratif harian, dan menyerang balas dalam masa nyata. Kita perlukan pasukan yang mampu kuasai TikTok untuk anak muda, Telegram untuk penyokong setia, dan media alternatif untuk membentuk arus bawah.
Tanpa pasukan penerangan yang agresif, tersusun dan strategik — PN akan terus dilihat defensif dan hilang peluang untuk membina keyakinan massa
Perubahan dalam PN bukan soal kelemahan. Ia soal survival. Gabungan ini tidak akan ke mana jika terus berharap kepada populariti lampau. Kita mesti bersedia berdepan PRU16 sebagai gabungan yang lebih berani, lebih tersusun dan lebih bersedia untuk memimpin.
Jurucakap nasional yang segar. Model pentadbiran SG4 yang ditonjolkan. Fungsi penerangan yang direvolusikan. Inilah tiga tiang utama perubahan yang boleh membawa PN keluar daripada kepompong pembangkang biasa kepada kerajaan menanti yang diyakini.
Rakyat bukan hanya mahu pilihan. Mereka mahu harapan. Dan harapan itu hanya boleh datang dari gabungan yang berani berubah.
Jika kita tidak berubah, rakyat sendiri akan mengubah kita.
YB Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, Adun Sura, Terengganu