Bersih Harap Wan Ahmad Farid Kekal Tegas Sebagai Ketua Hakim

KUALA LUMPUR, 18 Jul 25 – Ketegasan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika di mahkamah perlu dikekalkan walaupun selepas dilantik sebagai ketua hakim negara, kata Jawatankuasa Pemandu Bersih.

Pertubuhan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu berkata, ketegasan yang ditunjukkan Wan Ahmad Farid ketika perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan institusi kehakiman bebas dari sebarang pengaruh.

“Penegasan sebegini amat penting untuk memastikan rakyat awam menghormati badan kehakiman sebagai badan yang mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang.

“Bersih menegaskan prinsip tersebut harus terus didukung oleh beliau terutama ketika menjalankan tugas sebagai ketua hakim negara,” kata jawatankuasa pemandu Bersih, dalam satu kenyataan.

Pertubuhan itu merujuk kepada tindakan Wan Ahmad Farid yang sebelum ini pernah terlibat dalam politik Umno, namun pada tahun 2022 beliau telah mengambil keputusan untuk menarik diri dari mendengar kes melibatkan bekas Najib dengan penegasan untuk mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.

Dalam masa sama, Bersih juga menuntut untuk kerajaan segera melaksanakan reformasi lantikan kehakiman terutamanya dengan mengurangkan kuasa perdana menteri dalam lantikan hakim-hakim.

“Ini termasuklah dengan mengiktiraf Suruhanjaya Lantikan Kehakiman (JAC) sebagai badan yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

“Komposisi dalam JAC juga perlu dirombak semula untuk mengurangkan kuota lantikan perdana menteri dalam keanggotaan JAC dengan memasukkan wakil daripada Majlis Peguam Malaysia, wakil Sabah Law Society dan Advocate Associates of Sarawak, serta wakil daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil yang berkelayakan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, ia diumumkan menerusi satu kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia malam tadi.

Baginda turut berkenan melantik Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share