Wong Chen Sertai BERSAMA, Tujuh Tokoh Dilantik Jurucakap

KUALA LUMPUR | 12 Ogos 26 — Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menyertai parti BERSAMA ketika parti itu memasuki fasa baharu pengembangan organisasi dengan melantik tujuh tokoh sebagai jurucakap pertamanya.

BERSAMA dalam kenyataan hari ini berkata Wong Chen telah membuat permohonan keahlian secara dalam talian dan penyertaannya berkuat kuasa hari ini, tertakluk kepada proses mengikut peraturan keahlian parti.

Wong Chen yang menjadi Ahli Parlimen sejak 2013 itu akan dipertanggungjawabkan untuk menyelia persediaan kertas-kertas dasar parti.

BERSAMA berkata, bermula menjelang Hari Merdeka 2026, parti itu akan menerbitkan siri kertas dasar dikenali sebagai Kertas Kancil, yang akan memperincikan 12 Agenda BERSAMA.

Menurut parti itu, siri tersebut bertujuan mencambahkan perbincangan awam mengenai langkah, dasar, akta dan program yang diperlukan bagi mencapai keberhasilan dalam setiap agenda berkenaan.

Dalam perkembangan sama, BERSAMA mengumumkan tujuh tokoh sebagai Jurucakap BERSAMA, yang diberikan mandat mewakili parti dalam bidang serta kelompok masing-masing.

Mereka ialah ahli ekonomi Sum Dek Joe, akauntan dan bekas personaliti media Ibrahim Sani, aktivis wanita muda Wan Zulaika Abdul Kahar, jurutera geoteknikal Jhen Pei Seah, bekas Ketua Whip Majlis Bandar Raya Subang Jaya (MBSJ) Anbarasan Murugesu, personaliti media Mandarin Tang Hong Yau dan peguam Rabiatul Adawiyah Sulaiman.

BERSAMA berkata pelantikan itu merupakan sebahagian daripada proses membina lapisan kepimpinan dan pengurusan parti yang lebih luas selepas parti berkenaan dilancarkan semula hampir tiga bulan lalu.

Selain jurucakap, parti itu turut merancang mengenal pasti Calon Bayangan BERSAMA bagi kerusi yang bakal ditandingi, serta Penggerak BERSAMA yang akan menjadi rujukan ahli dan membantu menggerakkan pertumbuhan parti.

Menurut BERSAMA, proses tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat sebelum membawa kepada pemilihan parti bagi memilih barisan kepimpinan baharu.

Parti itu turut memaklumkan proses berkenaan akan dimulakan dengan pindaan Perlembagaan BERSAMA yang kini sedang diuruskan selaras dengan keperluan di bawah Akta Pertubuhan.

Dengan kemasukan Wong Chen serta pengumuman barisan jurucakap pertama, BERSAMA kini dilihat sedang mengukuhkan struktur organisasi dan pada masa sama membina pasukan yang menggabungkan kepakaran ekonomi, undang-undang, kejuruteraan, media serta pengalaman pentadbiran tempatan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share