Adakah 7 Pemain Naturalisasi Mampu Berbahasa Melayu? PAS soal Saifuddin

KUALA LUMPUR, 10 Okt 25 — Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari mencabar agar satu video ringkas tujuh pemain naturalisasi berbahasa Melayu disiarkan, memandangkan pengetahuan asas tentang bahasa itu adalah antara syarat wajib memperolehi kewarganegaraan.

Cabaran itu dikeluarkannya kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi membuktikan tujuh pemain naturalisasi itu mempunyai pengetahuan asas tentang bahasa Melayu atau tidak.

“Agak-agak, beranikah menteri menyahut cabaran untuk menayangkan temu ramah ringkas dalam Bahasa Melayu bersama tujuh pemain ini bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh berbahasa Melayu, sekurang-kurangnya pada tahap asas?,” katanya, dalam hantaran media sosial.

Tambah ahli Parlimen Pasir Mas itu, penjelasan perlu diberikan menteri memandangkan isu itu melibatkan institusi kewarganegaraan negara.

“Semakin lama penjelasan ini diberikan, semakin kusut dan berbelit-belit jadinya.

“Apa pandangan anda? Isunya di sini, rakyat sedang mempersoalkan — adakah institusi kewarganegaraan negara kita masih selamat hari ini?,” soal Fadhli.

Tambahnya, meskipun pemain warisan diberi kerakyatan melalui proses natrulisasi, namun soal penguasaan Bahasa Melayu tetap menjadi syarat kelayakan.

“Mana-mana individu yang nak diberikan taraf kewarnageraan secara naturalisasi juga wajib mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bahasa Melayu,” tegasnya.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata permohonan kerakyatan melalui naturalisasi kepada tujuh pemain Harimau Malaya dibuat mengikut semua prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saifuddin berkata, ini selepas mempertimbangkan peruntukan dalam Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share