
KUALA LUMPUR, 26 Mei 25 – Sekumpulan individu mempersoalkan agenda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang dianggap gagal membantu menyelesaikan masalah ekonomi bumiputera.
Kumpulan anggota beberapa pertubuhan NGO itu mendakwa, tiada sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan sejak penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera sebelum ini.
“Saya tak faham apa yang mereka raikan setahun selepas Kongres Ekonomi Melayu? Atau hanya seronok nak rasa dekat dengan pemimpin politik besar aka Wak Jahid?,” soalnya, merujuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Apa perkembangan yang berlaku?,” ujar salah seorang dikalangan mereka, kepada politiko.my melalui aplikasi WhatsApp.
Politiko.my telah menerima maklum balas daripada beberapa individu yang enggan mendedahkan identitinya yang prihatin dengan agenda bumiputera, dan kumpulan ini menyuarakan beberapa persoalan dalam nuansa yang sinikal.
Persoalan yang diutarakan kebanyakannya merujuk kepada penyertaan DPMM dalam Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024) yang telah berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), baru-baru ini.
Seorang lagi mempersoalkan pertanggungjawaban isu bumiputera dalam kerajaan Madani.
“Siapa yang bertanggungjawab menerajui agenda bumiputera selepas kongres dan sekarang, siapa menteri, kementerian, dan agensi yang bertanggungjawab?,” soalnya.
Seorang lagi yang juga enggan menamakan dirinya, mendakwa istilah agenda ekonomi bumiputera yang kini dilihat semakin lesu.
“Istilah agenda ekonomi bumiputera semakin sendu dan hampir tidak kedengaran dalam kerajaan Madani ini selain dari dalam majlis tertutup sebegini.
“Banyak persoalan lagi dan jurang ekonomi Melayu terus meningkat, boleh sesiapa jelaskan?,” soalnya.
Ada antara mereka turut mengakui bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berjaya mengembangkan sumber hasil negara.
“Walaupun saya tak suka Najib, dan Najib tak suka saya, sekurang-kurangnya kek ekonomi ketika itu makin membesar masa tu dan ada la nampak agenda bumiputera tu, walau pun dia mencuri.
“Dia (Najib) juga berani persoalkan “Apa lagi Cina Mau”.
“Sekarang yang nampak macam-macam wayang dari kerajaan termasuk dari NGO-NGO penyokong mereka,” katanya.
Memetik kenyataan dalam hantaran Facebook DPMM, tujuan utama sesi tersebut dikatakan adalah bagi mendapatkan perkembangan terkini pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau lebih dikenali sebagai (PuTERA35).
Antaranya, termasuk laporan kemajuan oleh kluster-kluster yang telah ditubuhkan selepas KEB 2024.
Menurut DPMM, langkah ini juga mencerminkan kesungguhan mereka untuk menyumbang secara aktif dalam merealisasikan aspirasi bumiputera yang digariskan oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Zahid. — @politiko.my