Cadangan tubuh Majlis Presiden PN bukan baru, Muhyiddin saran sejak 2020

KUALA LUMPUR, 12 JUL 25 – Cadangan penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) bukan perkara baru kerana pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pernah mencadangkan perkara sama sejak 2020, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail.

Penubuhan Majlis Presiden PN itu juga katanya sudah dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi gabungan pembangkang dan hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan.

“Penubuhan Majlis Presiden PN telah pun dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi PN dan hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan,” kata Tun Faisal.

Ketika itu, Tun Faisal berkata, Majlis Presiden PN yang dicadangkan ketika itu juga bukan bertujuan untuk mengecilkan kuasa presiden parti komponen PN, sebaliknya mereka kekal memegang kuasa eksekutif dalam parti masing-masing.

“Perlu diingatkan pengerusi PN dan presiden pengasas Bersatu, Muhyiddin sememangnya dikenali sebagai seorang yang inklusif dalam pendekatannya.

“Malah inklusif adalah salah satu daripada lima idealisme teras Bersatu. Jadi inklusiviti dalam pendekatan PN dan Bersatu bukan sesuatu yang luar biasa,” jelasnya.

Malah, beliau turut menepis dakwaan penubuhan Majlis Presiden akan mengecilkan kuasa presiden parti komponen PN.

“Tidak timbul soal ‘kuasa dicairkan’ kerana setiap presiden parti kekal sebagai pemegang kuasa eksekutif dalam parti masing-masing — sama seperti dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya, dalam hantaran Facebook.

Tambahnya, Majlis Presiden akan bertindak sebagai platform ketua-ketua parti berbincang isu dasar yang tidak dapat diputuskan parti.

“Fungsi Majlis Presiden — baik dalam PH mahupun PN — adalah sebagai platform rasmi ketua-ketua parti gabungan membincangkan dan menyelesaikan isu-isu dasar serta hal-hal yang tidak dapat diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi badan gabungan parti-parti.

“Ia juga menjadi ruang penyelarasan dan konsensus untuk perkara-perkara berkepentingan bersama, sekaligus mengukuhkan kerjasama dalam gabungan,” kata Tun Faisal.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin sebelum ini dilapor mencadangkan PN mewujudkan majlis presiden dianggotai semua ketua parti dalam gabungan itu.

Katanya, ia adalah antara syor PAS dalam usaha menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share