Chegu Bard Dakwa Pihak Lapor Polis Artikel Yusoff, NGO Upahan

KUALA LUMPUR, 19 Jun 25 – Kumpulan NGO Nadi Gemilang Amal didakwa merupakan kumpulan yang dibayar menggunakan dana kerajaan dengan ahli seketariatnya, Dzul Hilmi Zainol merupakan anggota PKR, dakwa Badrul Hisham Shaharin.

Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson yang dikenali sebagai Chegu Bard mendakwa, laporan polis dibuat NGO itu terhadap bekas pembantu penyelidik kepada ahli politik Yusoff Rawther yang mendakwa dia penyokong rejim Israel pada 2017 adalah tidak berasas.

“Persoalannya ialah 2017 YR (Yusoff Rawther) menulis mengenai Israel kamu anggap YR dia agen Mossad.

“Bagaimana dengaan Anwar yang berkali kali mengeluar kenyataan sokong Israel?,” katanya, merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chegu Bard mendakwa, Dzul Hilmi juga merupakan anggota exco AMK PKR yang berkempen untuk Nurul Izzah Anwar ketika pemilihan parti itu baru-baru ini.

“Individu yang bernama Dzul Hilmi Zainol menyamar sebagai aktivis NGO. Dia seorang exco AMK Pusat.

“Dalam FB dia juga mengaku ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Dia aktif PKR baru ini ke sana ke sini kempen team anak Anwar. Dia juga mengaku influencer hasil buat TikTok,” katanya, dalam satu hantaran Facebook.

Chegu Bard sebaliknya menegaskan sokongan Perikatan Nasional (PN) terhadap Yusoff adalah berkaitan hak asasi rakyat Malaysia yang seharusnya dilindungi undang-undang.

“Isu yang sedang perjuangkan berkenaan Yusoff Rawter tidak ada kena mengena dengan sokongan beliau terhadap Israel.

“Yang sedang di perjuangkan oleh PN ialah isu hak Yusoff sebagai rakyat Malaysia yang seharusnya dilindungi oleh undang-undang negara ini dan agensi-agensi penguatkuasa yang diberi kuasa oleh Perlembagaan, tetapi hak-hak beliau tersebut seolah telah ‘dicabuli’,” katanya.

Jelas aktivis politik itu, isu sebenar berkenaan Yusoff ialah kes saman sivil, senjata dan dadah, bukan soal Palestin dan Israel.

Dzul Hilmi yang merupakan ahli sekretariat Nadi Gemilang Amal, semalam membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap kenyataan Yusoff yang didakwa dibuat pada tahun 2017.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share