
KUALA LUMPUR | 24 Mac 26 – Malaysia berpotensi menjadi pemain utama dalam industri Rare Earth Elements (REE), dan penguasaan sumber serta teknologi pemprosesannya dianggap kritikal untuk memastikan kelebihan strategik negara dalam ekonomi, pertahanan, dan teknologi, menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim menekankan bahawa pengalaman global menunjukkan penguasaan kepada rantaian bekalan, bukan sekadar pemilikan sumber mentah, menentukan kuasa sesebuah negara.
Beliau merujuk kepada konflik di Timur Tengah dan penutupan Selat Hormuz yang memberi kesan besar kepada harga minyak dunia sebagai contoh bagaimana sekatan atau kawalan ke atas komoditi strategik boleh menggoncang ekonomi global.
“Jika dahulu petroleum menjadi kuasa pasaran tenaga, kini Rare Earth Elements akan memainkan peranan lebih besar dalam teknologi moden, daripada telefon pintar dan kenderaan elektrik, hingga sistem pertahanan. Malaysia tidak boleh hanya memiliki REE, tetapi mesti menguasai pemprosesan, standard industri, dan kawalan eksport untuk memastikan kelebihan strategik jangka panjang,” kata beliau yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air pada era kepimpinan Ismail Sabri.
Beliau menjelaskan bahawa negara-negara besar sudah mula mengutamakan strategi penguasaan REE. Sebagai contoh, U.S. Department of Defense dikhabarkan membuat perjanjian bekalan dengan syarikat Lynas bagi mengurangkan pergantungan kepada China yang menguasai sebahagian besar pasaran global REE.
“Kegagalan negara untuk mengurus aset strategik ini boleh mengulangi sejarah lama, di mana nilai tambah sumber dibawa keluar dan Malaysia hanya menjadi penonton di tanah sendiri,” tegas Tuan Ibrahim.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai kira-kira 16.1 juta tan metrik REE non-radioaktif, dengan nilai potensi antara RM800 bilion hingga hampir RM1 trilion. Namun, aset ini hanya berguna sekiranya disokong dasar jelas, teknologi pemprosesan, dan keberanian politik untuk memastikan nilai tambah tidak hilang ke tangan pihak lain.
“Kerajaan perlu menetapkan dasar ‘downstream-first’, memastikan hasil mentah diproses dalam negara, serta membina rangka kerjasama serantau dan global yang melindungi kepentingan nasional. Eksport bukan haram, tetapi mesti berpandu kepada siapa pembeli, syarat teknologi, dan pulangan industri,” tambahnya.
Tuan Ibrahim menekankan bahawa pengurusan REE bukan sekadar soal ekonomi, tetapi juga strategi jangka panjang untuk memastikan Malaysia mengawal masa depannya sendiri dalam era persaingan kuasa besar moden.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.