
KOTA KINABALU, 7 Okt 25 — Perikatan Nasional (PN) mengumumkan kesediaan penuh untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan semalam.
Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, dalam kenyataannya berkata pembubaran DUN tersebut telah lama dinantikan oleh rakyat negeri itu kerana ia membuka ruang untuk menentukan semula hala tuju pentadbiran Sabah.
“Pembubaran DUN Sabah hari ini telah lama dinanti-nanti oleh rakyat Sabah kerana ianya akan membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negeri yang baharu,” katanya.
Dr. Ronald menambah bahawa PN yakin rakyat Sabah kini semakin matang dalam membuat pilihan dan bersedia untuk melakukan perubahan demi masa depan negeri yang lebih stabil dan bermaruah.
“Perikatan Nasional yakin rakyat Sabah sudah cukup matang dan bersedia untuk melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik dengan memilih kerajaan negeri baharu,” ujarnya.
Beliau menyeru rakyat negeri itu untuk bangkit bersama PN bagi membina Sabah yang “stabil, cekap lagi bermaruah”.
PRN Sabah kali ini dijangka menjadi tumpuan utama politik negara, dengan parti-parti utama termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Warisan dijangka turut bertanding mempertahankan pengaruh masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian dalam masa terdekat. Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri baharu diadakan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.