SD 120 KB Bersatu Bukan Desak Muhyiddin Letak Jawatan – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 29 Sep 25 —  Akuan bersumpah (SD) 120 Ketua Bahagian (KB) Bersatu bukan bertujuan menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan presiden parti itu, seperti didakwa sesetengah pihak, jelas Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu menjelaskan, kandungan SD tersebut bertujuan menyatakan pandangan usul berkaitan pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak perlu di bawa ke Mesyuarat Agung Tahunan (PAT) lepas.

“Malahan kalau diteliti, kita siap letakkan syarat bahawa presiden mesti terus di depan.

“Di mana salahnya kandungan dokumen ini? Tidak ada satu ayat pun menolak presiden. Saya harap kita jelas mengenai kandungan dokumen ini, ” kata Wan Saiful, ketika sidang media hari ini.

Sehubungan itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mempersoalkan wujud naratif songsang usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin.

“Sehingga isu ini dimasukkan oleh individu yang menulis ucapan dasar presiden, dan menjadi polemik dalam parti hingga hari ini.

“Dan kami empat orang pula dipanggil ke Lembaga Disiplin, ” katanya, dalam sidang media yang turut dihadiri ketua-ketua bahagian Bersatu yang menandatangani SD tersebut.

Malah, katanya tiada pihak yang menghubunginya untuk mendapatkan gambaran sebenar polemik tersebut, sebaliknya menyerangnya.

“Saya betul-betul pelik kenapa dia tak ada langsung yang menghubungi saya untuk semak kandungan sebenar dokumen ini.  

“Adakah dia tak berminat dengan kebenaran? Adakah dia hanya berminat nak pasakkan naratif yang songsang dalam minda semua orang agar parti kita berpecah?,” soalnya.

Beliau turut menjelaskan, SD yang disebar di media sosial juga bukan SD sebenar yang digunakan bagi mendapatkan tandangan ketua bahagian parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

“SD itu tiada tandatangan pun (dan) tak relevan,” katanya, dan tidak menolak Muhyiddin sendiri tidak melihat SD sebenarnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share