
KUALA LUMPUR, 8 Okt 25 — Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya kerajaan segera menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat sepenuhnya skandal pemalsuan dokumen pemain naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti dinyatakan dalam laporan penuh FIFA.
Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan juga katanya perlu dijalankan bagi mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pengesahan dokumen palsu serta peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan.
“Siasatan yang telus menjadi lebih mendesak apabila FAM sendiri dalam kenyataannya bertarikh 11 Jun 2025 berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hal dokumentasi.
“Amatlah perlu meneliti sebarang kecenderungan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik,” katanya, dalam satu kenyataan..
Katanya, laporan itu menunjukkan FIFA berjaya memperoleh sijil kelahiran asal nenek moyang pemain-pemain terbabit daripada Pejabat Pendaftaran di negara asal mereka, termasuk di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Malah, FIFA juga katanya mendapati dokumen yang dikemukakan oleh FAM telah diubah suai, dengan tempat lahir asal di luar negara ditukar kepada negeri-negeri di Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak.
“Lebih mengejutkan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia dilaporkan mengaku tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap atau hearsay.
“Pendedahan ini nampaknya telah mengubah kes ini daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara — suatu perbuatan yang amat serius dan mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, alasan FAM tidak dapat membuat semakan kesahihan dokumen adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima memandangkan FIFA sendiri boleh mendapatkan sijil asal dari luar negara dengan mudah.
“Kesimpulan laporan FIFA amat jelas, iaitu pemalsuan ini bukanlah kesilapan teknikal, tetapi merupakan penipuan terancang.
“Ia juga menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen oleh FAM serta agensi kerajaan seperti JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Keadaan ini turut menggambarkan Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mempertahankan integriti dan kejujuran dalam urusan rasmi antarabangsa,” jelasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.