Umno Sekadar Mengharap Ihsan Anwar, Kata Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 3 MEI 25 – Umno tidak lebih besar daripada Bersatu dan hanya mengharapkan belas ihsan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada di puncak kuasa, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPT) Bersatu berkata, hanya pemimpin Umno yang istiqamah mampu melihat perjuangan mereka subur bersama Bersatu, berbanding kumpulan yang bersama kerajaan perpaduan.

“Kita kena ingat kalau bukan disebabkan proses lompat dan lapar peruntukan, bilangan ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat adalah lebih besar dari Umno.

“Umno ni bukan besar mana sangat pun. Hanya ada kuasa sebab berpaut bawah ehsan Anwar sahaja,” katanya, dalam kenyataan

Kenyataan itu dikeluarkan ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai respon kepada Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub yang menyarankan Bersatu dibubarkan dan kembali menyertai Umno.

Ia ekoran  Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerap menyatakan  kesediaan bekerjasama dengan Umno.

“Yang bercakap itu dari veteran Umno, jadi pandangan itu pun memang menunjukkan sifat veteran yang sepatutnya dah pencen dan tak sesuai dengan era politik baru negara kita,” kata Wan Saiful.

Tegasnya, hanya pemimpin Umno yang pentingkan takhta dan jawatan selesa bekerjasama dengan Anwar.

“Tapi, kalau ada pemimpin Umno yang masih istiqamah dengan matlamat perjuangan, mereka kena tanya diri sendiri adakah perjuangan itu akan lebih subur jika bersama Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share